Aksi Thai League 1 membabitkan Port FC dan Buriram United baru-baru ini mencuri perhatian penyokong kerana pertembungan Asnawi Mangkualam dan Dion Cools.
Nama dua pemain pertahanan ini amat dikenali peminat bola sepak Asia Tenggara. Asnawi merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Indonesia di bahagian pertahanan.
Manakala Cools pula bukan saja pemimpin di bahagian pertahanan Malaysia. Malah, beliau juga sering diberi tanggungjawab sebagai kapten Harimau Malaya.
Jadi, apabila Asnawi masuk ke padang sebagai pemain gantian pada minit ke-88, kelibat kedua-duanya bersaing di atas padang menjadi tumpuan.
Bekas bek kanan Jeonnam Dragons itu diletakkan di bek kiri bagi mengekang pergerakan Cools yang beraksi sebagai bek sayap kanan.
Dan sebaik saja bekas pemain pertahanan FC Midtjylland itu menerima bola, Asnawi tidak teragak-agak menerjah keras Cools.
Tindakan pemain pertahanan berusia 24 tahun itu dikesan pengadil, Sivakorn Pu-udom sebelum melayangkan kad kuning kepadanya pada minit ke-91.
Asnawi terpaksa bertindak demikian kerana berdepan kesukaran mengekang pergerakan Cools di bahagian kanan.
Ini dibuktikan menerusi penilaian Sofascore buat semua pemain selepas tamat perlawanan. Cools diberi markah 7.0 dengan Asnawi hanya mendapat markah 6.3.
Selain itu, ini membuktikan percaturan jurulatih Buriram, Jorginho Campos meletakkan pemain berdarah Belgium-Sarawak itu sebagai bek kanan atau bek sayap kanan tepat.
Ini kerana Cools kembali mencapai prestasi terbaik selepas sebelum ini beraksi sebagai bek tengah.
Perlawanan tersebut kemudiannya berkesudahan 1-1 buat kedua-dua pasukan. Worachit Kanitsribumphen terlebih dahulu meletakkan Port di hadapan pada minit ke-21.
Penyerang Brazil, Guilherme Bissoli memastikan perjuangan Buriram untuk menjulang kejuaraan liga musim ini terus menyala dengan gol penyamaan pada minit ke-64.
Cools dan Buriram berpeluang menjulang gelaran liga buat kali ketiga berturut-turut pada minggu hadapan dengan syarat mereka perlu menang ke Uthai Thani pada 18 Mei.