Pengendali Australia, Tony Popovic ingin melihat pasukan itu bersaing dalam saingan ASEAN Championship.
Ini kerana beliau melihat penyertaan pasukan itu dalam kejohanan berkenaan mampu memantapkan cabaran The Socceroos di peringkat antarabangsa.
Meskipun begitu, legenda Crystal Palace itu mengakui mereka perlu mengatasi cabaran logistik jika mereka mahu menyertai kejohanan tersebut.
Ini ditambah dengan fakta saingan ASEAN Championship diadakan di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya menyukainya. Lebih banyak perlawanan untuk The Socceroos, lebih baik. Sama ada itu akan berkesan dalam kejohanan sebegini, saya tak tahu,” katanya.
“Macam mana nak jayakannya dengan kalendar (liga) tempatan kita, saya tak pasti bagaimana ia dapat dijayakan dari segi jadual perlawanan. Jika anda mempunyai matlamat yang jelas tentang kejohanan sebegini, sebarang pendedahan antarabangsa membantu pemain-pemain.
“Kita mahu pasukan B-17, B-20 dan B-23 untuk layak ke kejohanan. Kenapa? Kerana (mahukan) pengalaman antarabangsa, anda tak boleh beli itu.”
Sejak menyertai Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 2006, Australia sudah menjadi sebahagian daripada majlis badan induk bola sepak Asia Tenggara itu.
Pada masa sama, Australia tidak dapat menyertai ASEAN Championship kerana itu antara syarat yang perlu dipenuhi jika ingin menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ini bukan kali pertama idea tersebut dibangkitkan. Sebelum ini, bekas jurulatih Australia, Graham Arnold turut menyuarakan sokongan kepada negara itu untuk menyertai kejohanan sama.