Ketua jurulatih Australia, Graham Arnold mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada jawatan tersebut.
Arnold memegang rekod sebagai jurulatih paling lama membimbing The Socceroos dari 2018 hingga 2024. Beliau sudah memaklumkan keputusannya kepada badan induk bola sepak negara itu, Bola Sepak Australia (FA).
“Pemergian Graham Arnold menandakan berakhirnya satu era untuk bola sepak Australia. Sumbangan beliau kepada sukan ini dan Subway Socceroos boleh dilihat oleh semua orang.
“Di bawah kepimpinan Graham, kita melakar pencapaian-pencapaian mengagumkan yang menaikkan bola sepak Australia di pentas dunia.
“Semangat dan dedikasi Graham telah meninggalkan kesan yang cukup besar kepada pasukan dan bola sepak Australia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FA, James Johnson dalam satu kenyataan.
Keputusan ini menyaksikan FA perlu mencari seorang jurulatih baru untuk membimbing Australia untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 seterusnya pada Oktober ini.
Meskipun menyedari ruang masa yang terbatas, Johnson memaklumkan badan induk bola sepak Australia itu komited mencari calon tepat menggantikan Arnold.
“Fokus kita kini beralih kepada mencari calon tepat yang boleh membina kecemerlangan berdasarkan asas yang ditinggalkan Graham dan membimbing pasukan ke hadapan dengan keyakinan.
“Kita perlu cepat dan kita juga komited untuk memastikan proses peralihan berjalan lancar bagi memastikan Subway Socceroos berada di landasan tepat untuk meraih kejayaan berterusan,” tambahnya.
Era Arnold menyaksikan Australia bukan saja layak ke Piala Dunia 2022. Malah, beliau turut melakar sejarah membantu The Socceroos layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Arnold turut mencipta nama dalam sejarah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan meraih 11 kemenangan berturut-turut dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.
Australia menjadi pasukan Asia kedua yang mengalami perubahan jurulatih untuk kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Sebelum ini, Oman mengumumkan Rashid Jaber sebagai jurulatih baru pasukan itu. Ini selepas pasukan Asia Barat berkenaan melepaskan khidmat jurulatih Republik Czech, Jaroslav Silhavy.
Antara nama yang dijangka dikaitkan dengan jawatan jurulatih Australia ialah Herve Renard, jurulatih Shanghai Port, Kevin Muscat dan bekas pengurus Central Coast Mariners, Nick Montgomery.