Jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy mencipta kejutan dengan memilih meletak jawatan meskipun baru menggalas peranan tersebut sejak Februari lalu.
Keputusan ini diumumkan Persatuan Bola Sepak Oman (OFA) baru-baru ini. Kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak sekaligus membenarkan OFA segera mencari pengganti Silhavy.
“Persatuan Bola Sepak Oman telah mencapai persetujuan dengan jurulatih Republik Czech, Jaroslav Silhavy dan staf kejurulatihan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.
“Lembaga Pengarah OFA mengucapkan terima kasih atas kerja kerasnya sepanjang bersama skuad kebangsaan dan mengucapkan selamat berjaya kepada beliau,” kata OFA dalam satu kenyataan.
Silhavy dilantik sebagai jurulatih Oman pada Februari 2024 menggantikan pengendali Croatia, Branko Ivankovic. Beliau membantu pasukan itu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Kejayaan itu dicapai apabila pasukan itu muncul juara Kumpulan D. Ini termasuk kejayaan mengalahkan skuad negara sebanyak dua kali pada Mac lalu.
Walau bagaimanapun, pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menyaksikan Oman tewas dua aksi Kumpulan B. Pasukan itu tewas kepada dua pasukan gergasi Asia, Iraq dan Korea Selatan.
Keadaan ini mendorong OFA memutuskan untuk melepaskan khidmat Silhavy dan melantik jurulatih baru untuk dua aksi kelayakan seterusnya pada Oktober ini.
Tidak lama selepas mereka mengumumkan pengunduran Silhavy, pengurusan OFA mengumumkan perlantikan Rashid Jaber sebagai pengganti. Rashid bukan asing dengan jawatan itu kerana pernah membimbing Oman pada 2002.
Peminat KL City FC juga cukup mengenali jurulatih berusia 60 tahun itu. Ini kerana Rashid bertanggungjawab merencana kemenangan Al-Seeb ke atas The City Boys di pentas final Piala AFC 2022.
Beliau bakal membimbing Oman mengharungi aksi menentang Kuwait dan Jordan pada 10 dan 15 Oktober ini.