Kapten Korea Selatan, Son Heung-min muncul wira Taeguk Warrior untuk meraih kemenangan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 setelah menewaskan Oman pada Selasa.
Setelah terikat seri tanpa jaringan ketika bertemu Palestin, Korea Selatan hadir ke Muscat untuk berdepan Oman yang kecundang 0-1 di tangan Iraq minggu lalu hasil gol Aymen Hussein.
Korea Selatan membariskan bintang seperti Kim Min Jae, Son Heung Min dan Lee Kang In sementara Oman diketuai Mohammed Al-Musalami di benteng pertahanan pasukan.
Seawal minit ke-10, pelawat sudah membuka tirai jaringan menerusi penyudah Hwang Hee Chan setelah menerima hantaran cantik dari Heung Min untuk meletakkan Korea Selatan di hadapan.
Ketika permainan menuju masa rehat, pertahanan Oman, Ahmed Al-Khamisi berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan yang menewaskan penjaga gol lawan, Jo Hyeon Woo.
Separuh masa pertama tamat, Oman 1-1 Korea Selatan.
Kembali dari rehat, Korea Selatan meraih sepakan penalti setelah Heung Min dikasari oleh bek Oman namun setelah disemak semula, pengadil menguba keputusan tersebut.
Pertahanan kebal ditampilkan Oman yang dibimbing oleh Jaroslav Silhavy membuatkan pelawat buntu dengan masa mula menghampiri 10 minit terakhir.
Tatkala aksi berbaki lapan minit lagi untuk dimainkan, Son Heung Min muncul wira Korea Selatan dengan meledak gol kedua hasil rembatan jarak jauh meskipun diapit 4 pemain Oman.
Penyerang gantian, Joo Min Kyu memastikan kemenangan mutlak buat Korea Selatan dengan gol ketiga ketika masa tambahan sekaligus memastikan tiga mata buat pelawat.
Perlawanan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Korea Selatan.
Kemenangan ini meletakkan Korea Selatan di tangga ke-2 kumpulan B buat sementara waktu menanti keputusan di venue lain manakala Oman kekal di tempat tercorot tanpa sebarang mata.
Aksi peringkat kumpulan seterusnya menyaksikan Oman akan melayani kunjungan Kuwait di laman sendiri manakala Korea Selatan bakal terbang ke Jordan pada 10 Oktober nanti.