Pasukan kebangsaan Palestin berjaya mempamerkan perjuangan sengit untuk mengikat Korea Selatan.
Skuad kendalian Makram Daboub menjalani persiapan di Malaysia selama hampir satu minggu sebelum turun menentang Taeguk Warriors.
Aksi di Stadium Piala Dunia Seoul itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan pantas pada babak pertama.
Korea Selatan hampir mendahului permainan menerusi percubaan Joo Min-kyu namun diselamatkan oleh penjaga gol Palestin, Rami Hamada.
3 orang pemain Palestin dan seorang tonggak Korea Selatan dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Alireza Faghani.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-0.
Bersambung babak kedua, Korea Selatan hampir berada di depan menerusi rembatan kencang Lee Kang-in namun melewati palang gol.
Tandukan Hwang Hee-chan juga berjaya dinafikan oleh penjaga gol Palestin ketika situasi satu lawan satu.
Rembatan kapten Korea, Son Heung-min hanya menggegar palang manakala Palestin mensia-siakan peluang di hadapan gawang.
Tambahan masa 8 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal terikat 0-0 hingga wisel penamat dibunyikan.
Palestin akan berdepan Jordan di Malaysia pada 10 September manakala Oman akan melayan tentangan Korea Selatan bagi aksi kedua kumpulan.