Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) telah memberikan penjelasan mengenai pemilihan Malaysia selaku gelanggang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Malaysia dipilih sebagai venue perlawanan selepas pihak Palestine mengadakan perbincangan dengan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
PFA sebelum ini mencari venue yang sesuai bagi dijadikan gelangang neutral menjelang Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza sejak Oktober tahun lalu.
PFA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan pemilihan Malaysia ini diambil kira berdasarkan beberapa faktor penting.
“Berdasarkan realiti ini, kami telah memutuskan untuk bermain perlawanan pertama kami di tempat sendiri menentang Jordan pada 10 September di Malaysia.
“Kami merakamkan ucapan terima kasih yang mendalam kepada negara yang menawarkan untuk menganjurkan perlawanan di tempat sendiri, termasuk Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Algeria, Malaysia, Indonesia dan Qatar.
“Sokongan mereka menunjukkan solidariti yang kuat dan persahabatan yang mendalam dengan rakyat Palestin.
Palestin juga menegaskan bahawa faktor geografi dan sokongan konsisten rakyat Malaysia menjadi salah satu faktor kuat bagi pemilihan venue.
“Malaysia dipilih terutamanya kerana kedudukan geografinya yang hampir dengan perlawanan pertama kami menentang Republik Korea, bersama-sama dengan hubungan persaudaraan kami yang mendalam dan sokongan padu yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia secara konsisten untuk perjuangan Palestin.
“Tambahan pula, Malaysia tidak bersaing untuk merebut tempat kelayakan Piala Dunia pada peringkat ini, memastikan keadilan dan rasa hormat terhadap pasukan lain dalam kumpulan kami dengan tidak berkongsi penyokong tuan rumah bersama kami,” ujar PFA dalam satu kenyataan.
Pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Palestin diundi berada dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, Iraq, Oman, Kuwait dan Jordan.
Palestine dan Jordan akan berentap dalam aksi kedua peringkat kumpulan B pada 10 September 2024.