Asia

JDT Beri ‘Tekanan’ Besar Buat Vissel Kobe

Arif JDT Buriram JDT Beri 'Tekanan' Besar Buat Vissel Kobe
Johor Southern Tigers
Advertisements

Jaguh Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan tekanan hebat kepada kedudukan Vissel Kobe di Asia.

Wakil Asia Tenggara ini sedang mendesak sebuah gergasi Jepun, bukan sahaja di atas padang tetapi juga dalam carta ranking yang menilai kekuatan kelab di seluruh dunia.

Opta Analyst menerusi Opta Power Rankings menilai ribuan kelab bola sepak di dunia. Penilaian dibuat berdasarkan keputusan perlawanan, kekuatan lawan dan prestasi semasa. Setiap kelab diberi mata penilaian dan kedudukan global, dan senarai itu juga boleh dilihat mengikut benua serta rantau.

Bagi Asia, data terkini menunjukkan persaingan di kelompok atas semakin sengit, terutama di antara kelab Jepun dan beberapa kelab yang mula meninggalkan bayang-bayang mereka.

Skuad Harimau Selatan kini berada di tangga ke-12 Asia dengan penilaian 80.1 mata dan menduduki tangga ke-335 dunia. Betul-betul di atas mereka ialah Vissel Kobe di tangga ke-11 dengan 81.2 mata dan kedudukan ke-265 dunia. Perbezaan antara kedua-dua kelab cuma 1.1 mata.

Juara Liga Super itu turut berada di atas beberapa nama besar Asia antaranya ialah Shabab Al Ahli dari UAE (80.0), serta dua kelab Jepun, iaitu Urawa Red Diamonds dan Yokohama F. Marinos yang masing-masing mempunyai 78.8 mata. Kelompok teratas Asia pula masih dikuasai Al Hilal (85.8), Al Nassr (84.0) dan Sanfrecce Hiroshima (83.2).

Pada peringkat ASEAN, Harimau Selatan jauh di hadapan sebagai kelab nombor satu rantau ini. Buriram United dari Thailand di tempat kedua dengan 74.2 mata dan berada di tangga ke-852 dunia. Ini bermakna jurang JDT dengan pesaing terdekat mereka di ASEAN ialah 5.9 mata dan lebih 500 anak tangga dalam kedudukan global.

Persib Bandung (73.7) dan Cong An Hanoi (73.4) melengkapkan empat teratas, manakala Selangor (70.6) ialah kelab Malaysia kedua dalam senarai dengan menduduki tangga ketujuh ASEAN.

Untuk Kobe, kelab yang dua kali menjuarai J1 League itu tidak lagi mempunyai ruang yang selesa di atas wakil Malaysia. Jika JDT terus konsisten, tidak mustahil kedudukan mereka bertukar dalam kemas kini ranking akan datang.

Persaingan itu juga dapat dilihat dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/27 zon Asia Timur. Kobe mendahului carta dengan rekod sempurna empat kemenangan daripada empat perlawanan, mengumpul 12 mata dengan menjaringkan lapan gol dan bolos tiga.

JDT pula di tangga keenam dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan, dengan jaringan 6-3. Kedudukan di tengah carta sangat ketat kerana Kashiwa Reysol, Port FC, JDT dan Kyoto Sanga masing-masing mengumpul tujuh mata.

Pada aksi kelima kumpulan, wakil Malaysia itu akan bertandang ke Thailand untuk menentang Ratchaburi FC pada 24 November ini, jam 8.15 malam waktu Malaysia. Ratchaburi sebelum ini yang tewas tipis 2-3 kepada Kobe pada aksi lalu.

Pada masa yang sama, kelab dari Hyogo itu akan ke Vietnam untuk menentang Cong An Hanoi, juga jam 8.15 malam. Seminggu kemudian, JDT akan menjadi tuan rumah kepada Daejeon Hana Citizen di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2026, jam 8.15 malam.

Kemenangan dalam dua aksi itu akan meletakkan Harimau Selatan di landasan yang kukuh ke pusingan 16 terbaik, sekali gus memberi lebih banyak tekanan kepada Kobe.