Kapten Kitchee Ulas Gol Lucu Kuching City
MakanBola
Kitchee SC

Kapten Kitchee, Asier Illarramendi enggan menyalahkan penjaga gol pasukan itu atas kesilapan yang membawa kepada gol Kuching City FC dalam aksi kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Tuan rumah mendapat gol pendahuluan dengan cara luar biasa seawal minit kedua perlawanan. Hantaran ke belakang yang dibuat Callum Beattie gagal disambut penjaga gol, Pong Cheuk Hei sebelum masuk ke dalam gawang.

Pelawat kemudiannya kembali menyamakan kedudukan menerusi bintang Hong Kong, Everton Camargo pada minit ke-14. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Illarramendi menyifatkan Kitchee tidak bernasib baik. Ini kerana tekanan hebat yang dikenakan Kuching City menyebabkan pasukan itu melakukan kesilapan dan memberi gol kepada tuan rumah.

“Saya fikir kita bermula dengan baik. Kita tahu sebaik perlawanan bermula, mereka akan memberikan banyak tekanan (demi mendapatkan penguasaan bola).

“Benar, kita jarang bermain (dari segi hantaran) kepada penjaga gol. Kita memang tidak bernasib baik dalam hal itu,” katanya selepas perlawanan.

Bekas arkitek Real Madrid itu juga enggan menyalahkan Cheuk Hei atas apa yang berlaku. Illaramendi melihat kesilapan itu tidak mematahkan semangat Kitchee untuk memburu gol penyamaan dan seterusnya meraih satu mata di Kuching.

“Saya fikir kita bermain dengan bagus. Babak pertama kelihatan seimbang. Memang benar kita bermula dengan kesilapan tapi dalam bola sepak, perkara itu boleh berlaku.

“Selepas itu, kita bangkit semula dan bermula dengan lebih baik, kita bermain lebih baik. Selepas kita berjaya menyamakan kedudukan, kita berpeluang meraih gol kemenangan tetapi kita tidak bernasib baik perkara itu tidak berlaku.

“Tapi secara keseluruhannya, kita menunjukkan satu usaha yang bagus,” tambahnya.

Keputusan ini menyaksikan Kitchee dan Kuching City masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga Kumpulan H dengan dua dan satu mata selepas dua perlawanan.