ACL2: Phnom Penh Crown Tewaskan Kelab Korea, Gangwon
MakanBola
Phnom Penh Crown FC

Wakil Kemboja, Phnom Penh Crown terus mempamer aksi memukau apabila cemerlang menewaskan kelab Korea Selatan, Gangwon dalam perlawanan Kumpulan H AFC Champions League Two (ACL2) pada Khamis.

Kemenangan kedua berturut-turut berjaya diraih oleh Phnom Penh Crown dalam kempen ACL2 apabila Gangwon menjadi ‘mangsa’ terbaharu kelab Kemboja ini hasil kejayaan 2-1 yang dilakar di Stadium Gangneung, Korea Selatan.

Kesebelasan utama Gangwon terdiri daripada 10 pemain Korea Selatan yang diketuai oleh tonggak tengah, Kim Lee-seok sementara penyerang kebangsaan New Zealand, Moses Dyer memimpin barisan serangan Phnom Penh Crown.

Babak pertama menyaksikan pelawat mendahului dengan satu jaringan apabila Guytho Mijland berjaya menyumbat gol pendahuluan beberapa minit sebelum memasuki bilik persalinan untuk Phnom Penh Crown di hadapan.

Gangwon enggan menyerah kalah dan akhirnya usaha untuk menyamakan kedudukan berhasil setelah Abdallah Khalaihal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61 bagi memberikan keceriaan buat wakil dari Korea Selatan itu.

Kelegaan itu tidak bertahan lama apabila Moses Dyer muncul wira Phnom Penh Crown dengan jaringan kedua pada minit ke-78, selepas pemain New Zealand itu turut tenang menyudahkan tendangan penalti yang dihadiahkan pengadil.

Keputusan akhir menyaksikan Phnom Penh Crown berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Gangwon, untuk memimpin carta Kumpulan H dengan 6 mata selepas turut menewaskan wakil Malaysia, Kuching City ketika aksi pertama lalu.