ACL2: Kuching City Tewas Saat Akhir Kepada Phnom Penh Crown
MakanBola
Phnom Penh Crown FC

Wakil Malaysia, Kuching City FC memulakan saingan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) dengan langkah kiri apabila dikejutkan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC pada aksi pertama Kumpulan H di gelanggang lawan.

Kuching City yang dibimbing Aidil Sharin Sahak menurunkan skuad terkuat dengan Ronald Ngah Wanja mengetuai bahagian serangan sambil Petrus Shitembi memegang peranan sebagai ketua pasukan.

Phnom Penh bermula garang dengan mempunyai peluang keemasan pada minit ke-12 melalui percubaan Callum Timmins namun percubaan jarak dekatnya ditepis kemas Haziq Nadzli di gawang Kuching City.

Kuching City dilihat bergelut untuk menguasai permainan apabila Phnom Penh tampil lebih dominan menerusi penguasaan bola serta hantaran-hantaran pendek yang tepat, sekali gus membolehkan mereka lebih banyak mengawal perlawanan.

Aksi separuh masa pertama berakhir dengan keputusan tanpa jaringan, meskipun deretan peluang terbaik berjaya dicipta, terutamanya oleh pasukan tuan rumah.

Bersambung di babak kedua, Phnom Penh terus menguasai permainan, namun Kuching City turut tampil positif dan tersusun berbanding aksi mereka pada separuh masa pertama.

Selepas melancarkan serangan bertali arus, Phnom Penh akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-55 menerusi penyudah Moses Dyer yang menyempurnakan hantaran kemas Guytho Mijland, sekali gus memberi kelebihan 1-0 buat tuan rumah.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kuching City membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Ramadhan Saifullah dan Ajdin Mujagic dalam usaha mencari jaringan penyamaan.

Pertukaran tersebut ternyata membuahkan hasil apabila Ajdin Mujagic meledak jaringan penyamaan pada minit ke-71 menerusi rembatan leret yang menewaskan penjaga gol Phnom Penh, Um Vichet, sekali gus mengikat kedudukan 1-1.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung, Moses Dyer muncul sebagai wira Phnom Penh Crown apabila meledak gol kemenangan selepas menyudahkan sepakan sudut rakan sepasukan, sekali gus memastikan tuan rumah menutup aksi dengan kemenangan 2-1.

Untuk aksi seterusnya, Kuching City bakal melalui aksi kedua bertemu kelab Hong Kong, Kitchee SC pada 15 Oktober di gelanggang sendiri manakala Phnom Penh pula bakal bertandang ke Korea Selatan pada tarikh yang sama bagi bertemu Gangwon FC.