Hajat Sabah FC untuk melakar kemenangan dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) tidak kesampaian apabila tewas 7-0 kepada Wuhan Jiangda.
Kedua-dua pasukan berharap dapat bangkit selepas masing-masing tewas dalam aksi pertama Kumpulan A. Wuhan selaku tuan rumah tewas 2-1 kepada Abu Dhabi Country Club.
Manakala Sabah pula terpaksa akur dengan kehandalan naib juara AWCL musim 2023, Incheon Red Angels dalam satu lagi aksi kumpulan.
Meskipun berstatus pasukan bukan pilihan, Sabah yang dibimbing Justin Ganai berusaha mengekang jentera serangan Wuhan daripada merekodkan sebarang jaringan.
Wuhan terpaksa menunggu sehingga minit ke-31 untuk membuka tirai jaringan menerusi Kabange Mupopo. Lapan minit kemudian, giliran Song Duan merekodkan nama sebagai penjaring.
Mengye Deng memastikan Wuhan memiliki kelebihan 3-0 ke atas Sabah sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-44.
Bersambung selepas rehat, Wuhan terus meningkatkan tekanan ke arah gawang Sang Badak yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan.
Wuhan kemudiannya merekodkan tiga jaringan dalam tempoh 10 minit menerusi Saratou Traore, Mengye dan Yao Wei.
Tuan rumah kemudiannya membuat beberapa pertukaran untuk memberi peluang kepada pemain lain beraksi. Manakala Justin pula memasukkan Henrietta Justine menggantikan Azzlyeanieh Kinuli.
Mengye kemudiannya meraih hatrik dengan melakukan tolakan mudah melepasi Nurul Azurin pada minit ke-81. Keputusan 7-0 kekal sehingga tamat.
Keputusan ini menyaksikan Sabah kekal berada di tangga keempat kumpulan tanpa sebarang mata. Manakala Wuhan pula memintas Abu Dhabi dengan kelebihan jaringan meskipun berkongsi tiga mata.
Kedudukan ini dijangka berubah apabila Abu Dhabi dan Incheon berentap dalam satu lagi aksi Kumpulan A pada jam 8.00 malam.
Sabah akan menutup kempen Kumpulan A dengan menentang Abu Dhabi pada 9 Oktober. Manakala Wuhan pula bakal berdepan cabaran Incheon pada hari yang sama.