Bekas penggempur utama Selangor FC, Ayron Del Valle kini sedang giat mencari kelab baharu setelah bergelar ejen bebas.
Ayron meninggalkan The Red Giants pada penghujung musim lalu dan memilih untuk berkelana ke Amerika Selatan dan beraksi bersama kelab Club Always Ready FC yang bersaing dalam Bolivian Primera Division di Bolivia
Berdasarkan data daripada Transfermarket, sepanjang menyarung jersi kelab berkenaan, pemain kelahiran Colombia itu telah diturunkan dalam 19 perlawanan selain menjaringkan empat gol dan dua bantuan jaringan.
Walau bagaimanapun, menurut laporan terkini wartawan dari Amerika Selatan, Mariano Olsen, kontrak Ayron bersama kelabnya itu baru sahaja ditamatkan dan beliau kini bebas mencari kelab baharu.
“Ayron Del Valle baru sahaja menamatkan kontraknya bersama Club Always Ready. Penyerang berusia 35 tahun itu bermain 21 perlawanan dengan 4 gol untuk kelab Bolivia itu,” tulis Mariano Olsen di laman X.
“Kini beliau bergelar ejen bebas dan sedang meneliti sebarang kemungkinan,” tambah Olsen dalam ciapan yang sama.
Bersama Selangor, Ayron meledak 24 gol dan melakukan enam bantuan jaringan dalam 31 penampilan sepanjang musim lalu untuk mengangkat beliau sebagai pemenang kasut emas Liga Super bagi musim 2023.