Bekas penjaring terbanyak Liga Super musim 2023, Ayron Del Valle dilaporkan sudah mendapat kelab baru selepas meninggalkan Selangor FC.
Portal media Bolivia, Late.com melaporkan penyerang berusia 35 tahun itu telah menyertai kelab Bolivia, Always Ready.
Khidmat Del Valle dilaporkan ditagih Always Ready bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penjaring terbanyak mereka dari Republik Dominica, Dorny Romero.
Romero meninggalkan impak yang besar buat Always Ready pada musim 2023. Mengikut data Transfermarkt, beliau telah menjaringkan 29 gol dalam 46 perlawanan untuk pasukan itu.
Del Valle percaya beliau mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Romero berbekalkan pengalamannya beraksi di pelbagai kelab termasuk Selangor.
“Di negara saya (Colombia), saya pernah menjadi penjaring terbanyak sebanyak tiga kali. Di Selangor, saya merupakan penjaring terbanyak kejohanan (Liga Super musim 2023).
“Saya seorang penyerang yang boleh beraksi di bahagian tengah dan bahagian sayap. Saya boleh beraksi di sepanjang bahagian serangan,” katanya kepada Late.com selepas menyertai Always Ready.
Selain pasukan Merah Kuning, Del Valle juga pernah beraksi untuk Independiente Medellín, Real Cartagena, Atlético Huila, Once Caldas, Deportivo Pasto, Deportes Tolima, Alianza, América Cali, Millonarios, Querétaro, Juárez dan Venados.
Always Ready turut memuatnaik imej pertama beliau menjalani sesi latihan bersama pasukan itu di laman media sosial rasmi mereka hari ini.
Selain Del Valle, Always Ready turut membawa masuk rakan senegaranya, Larry Angulo bagi memperkuat bahagian tengah mereka.