Hasrat Pattani FC melebarkan rentak kemenangan dalam Thai League 1 musnah apabila tewas kepada Ayutthaya United.
Selepas menewaskan Rasisalai United, Pattani berharap satu lagi kemenangan dapat menambah jurang antara mereka dan zon penyingkiran.
Meskipun begitu, aksi ditangguhkan selama sejam sebelum dimulakan pada jam 8.00 malam. Ini susulan hujan lebat yang melanda sekitar Ayutthaya.
Hajat Pattani meraih kemenangan musnah apabila dibolosi pada minit ke-20 menerusi Ewerton.
Pelawat mendapat talian hayat apabila Ayutthaya beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua. Warinthon Jamnongwat diarah keluar padang apabila mengutip kad kuning kedua.
Walaupun beraksi dengan 11 pemain, itu tidak cukup buat Pattani untuk bangkit. Sebaliknya, mereka dibolosi buat kali kedua menerusi Yuki Kusano pada minit ke-81.
Pattani mengurangkan defisit pada minit akhir perlawanan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat. Ayutthaya terus menghambat Port di tempat kedua dengan 16 mata.
Pattani pula kembali berada dalam zon penyingkiran Thai League 1 dengan tujuh mata. Ewerton dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2.


