Asia

Perlawanan Persahabatan Pun Boleh Berhutang

Brazil India Indian Football Perlawanan Persahabatan Pun Boleh Berhutang
Indian Football
Advertisements

Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) kini berdepan masalah kewangan selepas mengadakan dua aksi persahabatan menentang Brazil dan Uruguay.

The Times of India melaporkan AIFF kini berhutang sebanyak AS$2.65 juta (RM10.8 juta) dengan Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) dan Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF).

Brazil, Uruguay dan Panama ialah tiga pasukan yang dijemput AIFF sebagai lawan India untuk tiga aksi persahabatan dalam kalendar antarabangsa FIFA bulan September dan Oktober.

Panama dilaporkan sudah menerima bayaran penuh daripada AIFF. CBF dan AUF pula dilaporkan hanya menerima separuh bayaran daripada badan induk bola sepak India itu.

Atas sebab itu, Presiden AIFF, Kalyan Chaubey berharap dapat menggunakan deposit tetap badan induk itu untuk menjelaskan baki bayaran.

Chaubey turut berjanji akan memulangkan semula amaun wang yang digunakan dalam deposit tetap AIFF. Meskipun begitu, usul itu dibantah ahli-ahli gabungan.

Ini kerana pada hemat mereka, deposit tetap AIFF hanya boleh digunakan untuk situasi kecemasan sahaja. Justeru, AIFF perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Eksekutif jika tetap mahu menggunakannya.

Selain yuran penampilan, AIFF juga perlu membayar semula sebahagian daripada AS$2.66 juta (RM10.8 juta) kepada rakan tiket rasmi mereka.

AIFF berharap dapat meraih jualan tiket lumayan menerusi dua aksi berkenaan. Walau bagaimanapun, jualan tiket yang hambar menjejaskan sasaran mereka itu.