Sokongan Ekor Harimau Malaya ditagih bagi aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Championship 2024 antara Malaysia vs Singapura.
Kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 20 Disember ini. Aksi ini cukup penting buat Harimau Malaya dan The Lions kerana ini menentukan pasukan mana yang bakal ke separuh akhir.
Prestasi semasa dalam Kumpulan A menyaksikan Malaysia mengutip satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. Singapura pula merekodkan dua kemenangan dan satu kekalahan.
Ini termasuk kekalahan 4-2 di tangan Thailand dalam aksi keempat Kumpulan A pada 17 Disember lalu.
Selain prestasi semasa, rekod lima pertemuan terakhir membabitkan Malaysia dan Singapura juga seimbang. Ini kerana kedua-dua pasukan masing-masing merekodkan dua kemenangan dan satu seri.
The Lions berharap dapat membalas dendam kekalahan 4-1 di tangan Harimau Malaya di SNBJ pada 3 Januari 2023. Kemenangan tersebut membantu Malaysia yang dibimbing Kim Pan-gon ketika itu ke separuh akhir ASEAN Championship 2022.
Stuart Wilkin, Darren Lok dan Sergio Aguero menyumbat gol buat Harimau Malaya. The Lions pula meraih gol saguhati menerusi bekas penyerang Terengganu FC, Faris Ramli.
Ramai pihak menjangkakan Ekor Harimau Malaya bakal memberi sokongan padu kepada skuad negara untuk aksi menentang Singapura. Setakat ini, 4,138 keping tiket sudah terjual untuk aksi berkenaan.
Penyokong yang belum berpeluang mendapatkan tiket boleh mendapatkan tiket kategori Terbuka dengan harga RM30, Grandstand (RM50) dan Premium (RM60). Tiket bagi penyokong kanak-kanak pula dikenakan pada harga RM5.
Kehadiran penyokong sentiasa memberi semangat kepada barisan Harimau Malaya. Ini terbukti apabila 65,147 Ekor Harimau Malaya membantu Malaysia membelasah Singapura 4-1 dalam edisi 2022.