Thailand bangkit menewaskan Singapura 2-4 dalam satu aksi penuh debaran Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric 2024 di Stadium Nasional Singapura sekaligus membuka luas peluang untuk Malaysia mara ke separuh akhir jika berjaya menewaskan Singapura Jumaat ini.
Singapura buka akaun jaringan seawal minit ke-10 menerusi satu serangan balas di sudahi sepakan deras kaki kanan Shawal Anuar menjadikan kedudukan 1-0.
Thailand hampir memperoleh jaringan pernyamaan menerusi satu sepakan deras Anan Yodsangwal pada minit ke-19 namun penjaga gawang Singapura, Izwan Mahbud menangkap kemas sepakan tersebut.
Thailand sekali lagi mengancam gawang Singapura pada minit ke-23 namun Suphanat Mueanta gagal menolak masuk bola untuk mencari gol pernyamaan.
Faris Ramli menggamatkan sorakan di Stadium Nasional Singapura selepas berjaya membuat larian cantik sebelum sepakannya berjaya menewaskan penjaga gawang Thailand, Patiwat Khammai menjadikan kedudukan 2-0 memihak tuan rumah pada minit ke-34.
Patrik Gustavsson merapatkan jurang pasukan Thailand pada masa tambahan separuh masa pertama menjadikan kedudukan 2-1.
Bersambung babak ke-2, Thailand meningkatkan tempo permainan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi tandukan Suphanat Mueanta.
Thailand sekali lagi mengejutkan tuan rumah selepas berjaya memperoleh jaringan ke-3 pada minit ke-70 menerusi tandukan Pansa Hemviboon namun jaringan tersebut dibatalkan selepas semakan VAR menjadikan kedudukan kekal 2-2.
Thailand berjaya memperoleh jaringan ke-3 pada masa tambahan menerusi tuisan Peeradon walaupun terpaksa menunggu lama untuk pengesahan VAR.
Thailand menambah derita Singapura menerusi jaringan ke-4 menerusi jaringan Teerasak dan keputusan berakhir dengan Singapura tewas 2-4 kepada pasukan pelawat, Thailand.
Malaysia akan bertemu Singapura Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dan wajib memenangi perlawanan untuk mara ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric 2024.