Penyokong Terengganu FC ceria apabila mendapat tahu bek kanan utama mereka, Azam Azmi Murad kembali cergas sepenuhnya.
Ini selepas pengendali skuad Peteh, Tomislav Steinbruckner mendedahkan status terkini masalah kecederaan pemain menjelang sepak mula liga pada 11 Mei ini.
Sebelum ini, bek kanan berusia 23 tahun itu terpaksa berehat lama selepas mengalami kecederaan buku lali dalam aksi antarabangsa membabitkan Malaysia dan Oman pada penghujung Mac lalu.
Kecederaan itu memaksa beliau berehat selama dua bulan. Akibat kecederaan itu juga, Azam tidak dapat menyertai skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) untuk kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar.
Hari ini, Steinbruckner mendedahkan pemain pertahanan muda itu sudah menjalani latihan penuh bersama skuad Peteh dan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan kompetitif.
Selain Azam, pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid juga dijangka kembali menyertai pasukan pada minggu hadapan.
Pemain sayap yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu sudah pulih daripada kecederaan yang dialami dalam kejadian kes samun yang berlaku pada lima hari yang lepas.
Pada masa sama, pengurusan Terengganu ingin memberi ruang untuk Akhyar pulih dari segi mental sebelum kembali bersama pasukan.
Walau bagaimanapun, Terengganu terpaksa menyisihkan bek tengah Belanda, Matthew Steenvorden. Ini kerana Steenvorden masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami semasa kempen pra-musim 2024/25.
Terengganu bakal membuka kempen Liga Super musim 2024/25 dengan menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 11 Mei ini.