Azizulhasni Awang: Beliau Korban Karier Demi Saya
UltraSukan
UCI

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menghargai pengorbanan yang dibuat isterinya, Datin Athiah Ilyana Abd Samat.

Hal itu diungkapkan beliau semasa menjadi tetamu segmen Hot Squad untuk stesen radio Hot FM baru-baru ini.

Azizulhasni memaklumkan Athiah Ilyana sanggup mengorbankan kariernya sebagai arkitek demi menyokong karier beliau dan menjaga keluarga terutama anak-anak.

Atas sebab itu, jaguh berusia 38 tahun menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat isterinya kerana banyak berkorban demi karier beliau.

“Terima kasih banyak-banyak kerana banyak berkorban. Isteri saya sendiri memperoleh ijazah sebagai arkitek di Melbourne juga dulu.

“Tapi beliau berkorban untuk tidak meneruskan karier sebagai arkitek itu kerana nak sokong saya, jaga anak-anak dan menguruskan hal-hal keluarga ini. 

“Banyak tahun itu, bertahun-tahun daripada awal sampai sekarang,” katanya.

Nama Azizulhasni kembali menjadi sebutan selepas meraih dua pingat dalam saingan Piala Dunia Trek UCI di Nilai.

Selain meraih pingat gangsa acara pecut individu, beliau turut menggondol pingat emas untuk acara keirin.

Kini, fokus Azizulhasni ialah Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.