Datuk Azizulhasni Awang merealisasikan impian meraih pingat emas Piala Dunia Trek UCI di hadapan peminat sukan Malaysia.
Ini selepas beliau berjaya mengungguli acara keirin dalam aksi final yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.
Selepas mengungguli separuh akhir, saingan final menyaksikan Azizulhasni bukan saja berdepan cabaran jaguh hebat Belanda, Harrie Lavreysen.
Malah, beliau turut dicabar jaguh Jepun, Minato Nakaishi dan wakil Trinidad & Tobago, Nicholas Paul.
Sebaik saingan bermula, Azizulhasni terus membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri untuk acara keirin.
Meskipun diberi tentangan hebat Lavreysen, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 itu mengungguli tempat pertama. Paul pula meraih pingat gangsa.
Kejayaan ini sekaligus merealisasikan impian Azizulhasni untuk menghadiahkan kemenangan pingat emas Piala Dunia Trek UCI yang berpotensi sebagai penampilan terakhirnya di hadapan penyokong negara.