Ads
Azizulhasni Awang Buka Mulut Selepas Aksinya Dibatalkan
UltraSukan
Olympic Malaysia

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil menjelaskan situasi yang berlaku dalam perlumbaan saringan pertama acara keirin Sukan Olimpik 2024.

Advertisements

Pada malam 10 Ogos lalu, peminat sukan Malaysia terkejut apabila panel komisar kejohanan memilih untuk membatalkan penyertaan Azizulhasni. Ini selepas panel komisar mendapati beliau telah memotong derny sebelum derny meninggalkan trek.

Advertisements

Kontinjen Malaysia menerusi jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley dan pengurus pasukan, Izham Mohammad cuba merayu keputusan berkenaan. Malangnya, rayuan kontinjen negara ditolak dan Azizulhasni tersingkir daripada acara keirin.

Advertisements
Advertisements

Kini, juara dunia 2017 itu mendedahkan situasi yang menimpa beliau berlaku disebabkan oleh beberapa keadaan. Pertama, Azizulhasni terpaksa ke hadapan untuk mengelak dihimpit pelumba trek Perancis, Rayan Helal.

Tindakan Helal yang mengekori rapat dan cuba menghimpit pemenang pingat perak edisi Tokyo 2020 itu memaksanya maju ke hadapan untuk mengelak insiden yang tidak diingini berlaku.

Advertisements

“Namun ketika melepas selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba Perancis (Rayan Helal).

“Himpitan itu terlalu agresif dan bagi saya ianya adalah agresif dengan sengaja kerana melanggar saya dan saya hampir terjatuh. Saya terselamat daripada jatuh kerana reaksi pantas dan kemahiran pengendalian bagus yang saya ada.

“Tidak cukup dengan itu beliau masih mengekori rapat disebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua dan di dalam keadaan seperti itu reaksi saya adalah bergerak kehadapan untuk mengelak dari beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kedua, Azizulhasni juga merasa pelik mengapa derny dibawa pada kelajuan yang lebih perlahan sebelum keluar di selekoh keempat trek. Gabungan dua situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat memperlahankan kayuhannya sehingga memotong derny.

“Sebagai seorang pelumba keirin yang elit, kita tahu kelajuan untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di pusingan terakhir, pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55 km sejam.

“Akan tetapi pada perlumbaan saya tadi pacer bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat.

“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut, dan cuba mengayuh ke belakang sebagai cara untuk brek akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan,” tambahnya.

Azizulhasni juga tertanya-tanya mengapa dirinya yang dikenakan tindakan pembatalan penyertaan (DSQ). Ini kerana berdasarkan pengamatannya, ada juga kes di mana pelumba melanggar undang-undang perlumbaan tetapi masih diberi peluang untuk bersaing.

Antara kes yang dirujuk Azizulhasni ialah perlumbaan pecut separuh akhir membabitkan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen dan jaguh Britain, Jack Carlin.

“Ada tak keadaan dimana pelumba melakukan kesalahan terang secara sengaja atau tidak sengaja yang menyalahi undang-undang perlumbaan tetapi tidak dikenakan kesalahan atau diberikan peluang oleh panel komisar?

“Jawapannya ada. Boleh rujuk perlumbaan separuh akhir pecut antara pelumba Great Britain dan Belanda dan juga perlumbaan suku akhir antara pelumba Great Britain dan Jepun,” ujarnya.

Meskipun kecewa tidak dapat bersaing dalam acara keirin individu, Azizulhasni tidak patah semangat. Sebaliknya, beliau mengharapkan rakyat Malaysia dapat memberi sokongan penuh kepada rakan senegara, Shah Firdaus Sahrom.

Advertisements

Shah Firdaus berjaya layak ke suku akhir acara keirin individu selepas melepasi cabaran repechage pusingan pertama. Suku akhir acara keirin bakal berlangsung pada 11 Ogos ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram