Jurulatih yang juga pundit bola sepak, Azlan Johar sudah mengenal pasti aksi hambar yang dipamerkan penyerang PDRM FC, Ifedayo Olusegun ketika menentang Kedah Darul Aman pada aksi sulung Liga Super tempoh hari.
Azlan berkata, Ifedayo tidak dapat menunjukkan aksi terbaik beliau kerana beberapa faktor seperti kurangnya gerakan dan kurang berusaha.
Oleh kerana beberapa faktor tersebut, permainan Ifedayo tampak tenggelam dalam perlawanan tersebut yang menyaksikan PDRM tewas tipis 0-1 kepada Kedah.
“Beliau (Ifedayo) yang kurang bergerak. Beliau sendiri yang kurang berusaha. Beliau sendiri yang tidak menonjolkan dirinya untuk dibantu.
“Selalunya sebagai pemain yang baik, kita harus menonjolkan diri kita. Kita harus bergerak dengan bijak untuk mendapat bantuan daripada rakan kita.
“Jika kita tidak melakukan perkara-perkara ini, persembahan kita nampak hambar,” ulas Azlan Johar di dalam siaran langsung perlawanan PDRM dan Kedah di TV Okey.
Dalam aksi tersebut, Syafiq Ahmad menjadi wira buat Kedah apabila jaringan pantas beliau seawal 33 saat sudah memadai untuk mencuri tiga mata berharga dari Stadium Selayang.
Ifedayo yang beraksi penuh dalam perlawanan itu mempunyai peluang keemasan untuk meledak namun ketangkasan penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz menjadi penghalang buat penyerang kelahiran Nigeria itu.