Kedah Darul Aman FC menepati ramalan apabila berjaya mencuri tiga mata berharga selepas menewaskan PDRM FC dalam aksi sulung Liga Super 2024/2025 sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan pemain terkuat dengan Kedah mempertaruhkan duo serangan Syafiq Ahmad dan Milos Gordic manakala PDRM turut mempertaruhkan dua penyerang iaitu Ifedayo Olusegun dan Bruno Suzuki untuk mencari gol.
Perlawanan dimulakan dengan menyaksikan Kedah hanya memerlukan 33 saat untuk menjaringkan gol apabila menyempurnakan hantaran menarik daripada Sony Norde. Kedah di hadapan 1-0.
Kedah meneruskan rentak menyerang dengan beberapa serangan merbahaya. Sony Norde hampir menggandakan jaringan buat Kedah pada minit ke-12 namun rembatan derasnya hanya singgah ke tiang gol.
PDRM memperoleh peluang keemasan pada minit ke-32 melalui Bruno Suzuki selepas penyerang Jepun-Brazil itu berjaya menggelecek pertahanan Kedah namun rembatannya sedikit tersasar.
Perlawanan berlangsung agak perlahan kerana hujan lebat yang turun membuatkan padang sedikit berat. Tiada jaringan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-0 memihak Kedah.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling menyerang namun pergerakan bola yang berat acap kali menjadi penghalang.
Syafiq Ahmad berpeluang meledak gol kedua pada minit ke-63 selepas beliau berjaya menanduk sepakan percuma Sony Norde namun tandukannya sedikit tersasar.
Tiada percubaan yang merbahaya dan gol yang berjaya dapat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan 1-0 buat Kedah.
Bagi aksi seterusnya, Kedah bakal bertemu Selangor FC pada 18 Mei ini di Stadium MBPJ manakala PDRM pula akan berkunjung ke Stadium Perak bagi aksi seterusnya bertemu Perak FC pada tarikh yang sama.