Khidmat dua pemain pinjaman Selangor, Azrin Afiq dan Hein Htet Aung tidak dapat digunakan oleh Negeri Sembilan menjelang pertemuan dalam saingan Liga Super pada Ahad.
Azrin dan Htet Aung merupakan pemain Selangor yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan dan makluman terkini mengesahkan bahawa kelibat dua pemain ini tidak akan kelihatan di atas padang pada hujung minggu ini
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Mohd Faliq Firdaus yang berkata perkara ini berdasarkan perjanjian pinjaman pemain di antara Negeri Sembilan dan Selangor.
“Mengikut perjanjian pinjaman kami dengan Selangor FC, Azrin dan Hein tidak akan bermain pada Ahad ini,” tulis Faliq Firdaus di laman X beliau.
Walau bagaimanapun, aksi Azrin dan Htet Aung boleh digunakan apabila perlawanan menentang Selangor dalam pusingan kedua liga di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi nanti.
“Tetapi mereka dijangka akan menentang Selangor pada pusingan kedua liga,” tambahnya lagi.
Pada ahad ini, Negeri Sembilan yang dibimbing Azzmi Aziz bakal turun menentang Selangor bagi aksi kedua liga mereka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sabtu lalu, skuad Jang terpaksa akur tunduk 1-3 kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan gol saguhati Negeri Sembilan disumbangkan oleh Hein Htet Aung.