Jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz mengakui pasukannya memerlukan suntikan pemain baru agar dapat bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam Liga Super.
Aksi terbaru Liga Super menyaksikan skuad Rusa kecundang buat kali keenam musim ini. Ini selepas mereka tewas 2-1 kepada PDRM FC pada 11 Ogos lalu.
R. Barathkumar memastikan Negeri Sembilan meraih gol pendahuluan pada babak pertama. Walau bagaimanapun, gol Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Bruno Suzuki memastikan The Cops meraih tiga mata penuh.
Azzmi merasakan perlunya ada penambahbaikan di setiap posisi pasukan Negeri Sembilan terutama di bahagian tengah dan bek tengah. Ini disebabkan pasukan itu sentiasa bergelut terutama bila berdepan hantaran-hantaran tinggi pihak lawan.
“Sudah tentu dekat bahagian tengah, pemain tengah menyerang, pemain tengah bertahan, (pemain) nombor enam (dan) lapan, nombor sembilan (penyerang) dan bek tengah juga.
“Kita nampak ada kekurangan di situ dari segi ketinggian. Kita pun setiap masa bergelut dengan hantaran bola tinggi. Saya rasa perlu ada penambahbaikan di situ,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Negeri Sembilan-PDRM yang disiarkan di Nadi Arena.
Pada masa sama, Azzmi menyerahkan keperluan penambahbaikan pasukan kepada pengurusan skuad Rusa. Ini kerana beliau memahami sebelum sebarang penambahbaikan dapat dilaksanakan, pengurusan perlu mengambil kira kemampuan kewangan pasukan terlebih dahulu.
“Namun, saya serah kepada pengurusan sekali lagi. Bab itu dari segi bajet mereka, kita tahu dari awal nak jimat kos. Kita tahu kita tak mampu.
“Tapi kalau kita tak buat penambahbaikan, kita akan tertinggal, saya percaya tak mudah. Jadi, kita lihat bagaimana mereka nak putuskan tentang penambahbaikan pasukan ini,” tambahnya.
Kekalahan ini menyaksikan Negeri Sembilan berada di tangga ke-12 liga dengan tiga mata daripada tujuh perlawanan.
Selepas ini, skuad Rusa bakal menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 17 Ogos ini.