Pengendali Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz mahu pasukan itu kembali bangkit untuk aksi Liga Super seterusnya.
Hajat skuad Rusa meraih kemenangan kedua dalam liga tidak kesampaian apabila tewas 2-0 kepada Sabah FC di Stadium Likas pada 25 Julai lalu.
Daniel Ting dan Jafri Firdaus Chew mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu. Negeri Sembilan turut ditimpa malang apabila Norfiqrie Talib dilayangkan kad merah oleh pengadil, Kamil Zakaria Ismail.
Ini selepas Kamil Zakaria mengesan terjahan merbahaya yang dilakukan pemain berusia 28 tahun itu ke atas pemain gantian, Azhad Harraz Arman.
Azzmi mengakui kegagalan anak buahnya menyudahkan peluang dalam perlawanan itu mengakibatkan mereka dihukum oleh skuad Badak.
Atas sebab itu, bekas jurulatih PDRM FC itu mahu Negeri Sembilan bangkit untuk aksi menentang Terengganu FC nanti.
“Kita cuba bersainglah. Kita ada beberapa peluang (di mana ada) yang menepati sasaran (dan) ada yang tersasar. Tapi ini bola sepaklah, kalau kita gagal sempurnakan peluang, kita akan dihukum dengan kesilapan kita sendiri.
“Sepakan penalti pada babak kedua, kemudiannya kita kehilangan seorang pemain akibat kad merah. Benda-benda itu menyebabkan kita gagal malam inilah.
“Apa pun, semua pemain sudah mencuba sebaik mungkin. Ya, kita ada kekurangan dalam perlawanan itu. Apa pun, kita kena bangkit dan fokus lebih baik untuk perlawanan seterusnya Insya Allah,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tangga tercorot liga dengan tiga mata. Selepas ini, skuad Rusa akan menentang Terengganu pada 30 Julai ini.