Badi Kekalahan Hantui Jeonbuk Hyundai
MakanBola
Jeonbuk Hyundai Motors

Jeonbuk Hyundai Motors terus dihantui badi kekalahan apabila tewas 1-0 kepada Jeju United dalam aksi terbaru K-League 1 pada 27 Oktober lalu.

Selepas tewas kepada Selangor FC dalam aksi ketiga Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), anak buah Kim Do-heon berharap dapat menamatkan tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Selain tewas kepada Merah Kuning, Jeonbuk juga turut tewas 4-3 kepada Daegu FC dan 2-0 kepada Daejeon Hana Citizen.

Malangnya, impian kemenangan pasukan itu lebur apabila bek tengah Jeju, Song Ju-hun meledakkan gol kemenangan pada separuh masa kedua perlawanan.

Keputusan ini meletakkan Jeonbuk di kedudukan ke-11 K-League 1 dengan 37 mata. Ini meletakkan Jeonbuk dalam bahaya kerana kedudukan ke-10 dan ke-11 ialah slot untuk pusingan playoff penyingkiran K-League 1.

Pasukan yang berada dalam slot berkenaan perlu bersedia menghadapi naib juara dan pemenang pusingan playoff K-League 2 musim 2024.

Seandainya prestasi buruk Jeonbuk berterusan dalam aksi menentang Incheon United pada 2 November ini, Jeonbuk berpotensi jatuh ke kedudukan ke-12. Pasukan tercorot K-League 1 akan terus tersingkir ke K-League 2.

Kekalahan terbaru ini nyata mengecewakan Do-heon. Beliau tahu sekiranya situasi ini berterusan, pasukan itu berpotensi berdepan penyingkiran ke saingan K-League 2.

“Saya secara peribadi sudah merasai penyingkiran semasa saya menjadi pemain. Terdapat pemain dalam pasukan yang mempunyai pengalaman berjuang untuk kekal seperti (Lee) Seung-woo dan (Lee) Young-jae.

“Para pemain berjuang merebut kejuaraan dan ada yang berjuang lebih hebat di sini (untuk mengelak penyingkiran). Ini bukan satu masalah yang boleh diselesaikan secara individu.

“Kita tiada pilihan melainkan untuk mengatasinya sebagai satu (pasukan),” katanya kepada Sports Chosun selepas perlawanan.

Selepas aksi menentang Incheon, Jeonbuk bakal berdepan Selangor di Jeonju untuk aksi keempat Kumpulan H pada 7 November ini.