Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah mengurangkan skop tugas yang digalas Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky.
Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat majlis BAM yang diadakan pada hari ini. Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam memaklumkan Rexy bakal fokus kepada acara beregu.
Manakala jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen bertanggungjawab menyelia kemajuan bahagian perseorangan.
“Kita akan beri Rexy ketuai bahagian beregu dan Kenneth Jonassen ketuai bahagian perseorangan dari peringkat junior kepada senior untuk kedua-duanya,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan sukan TV3, Syakirah Zulkifly
“Sebab kita berbuat demikian ialah kita nak ringankan tugas Rexy daripada galas tanggungjawab tambahan.
“Kita juga mahu beliau fokus kepada acara beregu memandangkan beliau pakar dalam acara berkenaan. Itu sebab kita lakukannya. Kita juga telah adakan perbincangan dengan semua pihak yang berkenaan.”
Perubahan ini dijangka membantu Rexy dan Jonassen membuat persiapan mantap untuk saingan Badminton Asia Championship (BAC) 2025 dan Sudirman Cup.