BAMTC: Malaysia Berdepan Misi Wajib Menang Lawan Indonesia
UltraSukan

Kontinjen Malaysia berdepan misi hidup mati menjelang aksi kedua Kumpulan B Badminton Asia Mixed Team Championship (BAMTC) 2025.

Skuad negara memulakan kempen kumpulan dengan langkah kiri apabila tewas 3-2 kepada Hong Kong.

Hong Kong meraih kemenangan dalam acara perseorangan lelaki, beregu wanita dan beregu campuran. Malaysia pula meraih dua mata menerusi K. Letshanaa (perseorangan wanita) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki).

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad negara perlu menang ke atas musuh tradisi, Indonesia dalam aksi kedua kumpulan. Ini kerana hanya kemenangan sahaja yang dapat membawa Malaysia ke peringkat suku akhir.

Malaysia perlu menang sekurang-kurangnya 3-2 ke atas Indonesia untuk layak selaku naib juara Kumpulan B.

Seandainya itu berlaku, Malaysia, Indonesia dan Hong Kong masing-masing berkongsi satu mata. Indonesia mara kerana memiliki kelebihan kemenangan 7-3.

Ini disusuli Malaysia yang berpotensi mara dengan kelebihan kemenangan 5-5. Itu sudah cukup untuk menyingkirkan Hong Kong kerana pasukan itu hanya memiliki rekod kemenangan 3-7.

Indonesia dijangka menurunkan barisan terkuat apabila berdepan Malaysia pada 13 Februari. Antara pemain yang bakal dipertaruhkan ialah Alwi Farhan dan Lanny Tri Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti.