Advertising
BAMTC: Malaysia Pilih Jalan Sukar, Tumpas Kepada Hong Kong
UltraSukan
BA Malaysia

Malaysia memulakan kempen Badminton Asia Mixed Team Championship (BAMTC) 2025 dengan langkah kiri apabila kecundang di tangan Hong Kong pada Rabu.

Skuad badminton negara dijadualkan membuka tirai saingan BAMTC berdepan Hong Kong yang sebelum ini tumpas 0-5 di tangan Indonesia dalam perlawanan pertama pada Selasa.

Barisan kejurulatihan Malaysia mempertaruh pasukan terbaik untuk aksi pertama ini dengan pemain-pemain seperti Justin Hoh, Man Wei Chong-Tee Kai Wun antara yang diturunkan.

Ad

Gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin diberi tugas penting selaku wakil pertama akan tetapi beregu campuran negara ini tewas kepada lawan dari Hong Kong, Tan Chung Man-Ng Tsz Yau.

Pertarungan yang berlangsung selama 59 minit itu berakhir dengan kemenangan 17-21, 21-17, 21-11 untuk Chun Man-Tsz Yau dan menghadiahkan mata pertama buat Hong Kong.

Ad
Ad

Pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa beraksi cemerlang untuk memberikan mata pertama buat Malaysia selepas itu dengan mengatasi Saloni Mehta dalam masa 46 minit.

Ad

Wakil kedua negara ini turun dengan semangat tinggi dan berjaya menyerang serta bertahan dengan baik sebelum menang 21-18, 21-18 untuk Malaysia mengikat kedudukan 1-1.

Selepas itu, Justin Hoh tampil selaku perseorangan lelaki dan bakal bertemu pemain di ranking ke-21 dunia, Lee Cheuk Yiu namun malang apabila pemain negara itu tewas dalam aksi 2 set.

Justin beraksi cukup baik di awal aksi sebelum terpaksa akur tumpas 19-21, 16-21 untuk Cheuk Yiu menghadiahkan mata kedua yang begitu penting buat pasukan Hong Kong kali ini.

Hasrat Malaysia untuk melakar kebangkitan buat kali kedua tidak kesampaian apabila beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tumbang kepada Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.

Pei Kee-Mei Xing berusaha keras untuk memberikan saingan kepada lawan dari Hong Kong itu sebelum terpaksa menelan kepahitan terlepas peluang untuk memberi mata kedua buat Malaysia.

Kedukaan Malaysia sedikit terubat apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun memberikan mata kedua buat pasukan negara namun itu tidak cukup bagi menghalang kemenangan Hong Kong.

Wei Chong-Kai Wun membawa momentum positif dalam aksi di kejohanan sebelum ini untuk mengatasi cabaran pasangan lawan, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai dalam masa kurang 30 minit.

Pertarungan di gelanggang 1 berakhir dengan keputusan Malaysia 2-3 Hong Kong.

Tugas berat menanti Malaysia andai ingin mara ke pusingan kalah mati apabila wajib merekodkan kemenangan ke atas Indonesia pada aksi terakhir kumpulan pada Khamis ini.