Penjaga gol utama Filipina, Neil Etheridge mahu rakan sepasukan lupakan segala duka menentang Malaysia malam tadi.
The Azkals berjaya mendahului dengan jaringan awal pada separuh masa pertama, namun Harimau Malaya lebih hebat apabila berjaya bangkit dua jaringan.
Ketua pasukan The Azkals ini percaya bahawa pasukannya boleh mengikat Harimau Malaya. Beliau menanggap beberapa keputusan daripada pengadil kurang memuaskan.
“Kami merasakan kesemua pemain telah membuat yang terbaik seperti yang dirancang.
“Sejujurnya, kami berpeluang untuk mendapatkan keputusan seri. Saya rasa beberapa keputusan yang dibuat di atas padang tidak dibuat dengan baik.
“Namun, pengakhirnya tetap kalah. Kami ditakdirkan untuk itu. Kami perlu fokus dengan kembali semula,” kata Neil Etheridge kepada Makanbola selepas tamat perlawanan.
Walaubagaimanapun, penjaga gol berusia 34 tahun tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan setiap pemain.
Penjaga gol Buriram United ini juga mahu rakan sepasukannya terus fokus dengan perlawanan seterusnya berdepan Tajikistan nanti.
“Ianya bukan satu perkara yang mudah untuk diluahkan. Selepas ini kami akan pulang ke Hotel dan mendapatkan rehat.
“Kita perlu lihat dan kaji semula tentang perlawanan tadi. Dan terus fokus untuk perlawanan seterusnya berdepan Tajikistan kelak,” kata Neil Etheridge kepada Makanbola selepas tamat perlawanan.
Filipina akan berdepan Tajikistan bagi penentuan tempat ketiga saingan Pestabola Merdeka pada hari Ahad ini, 8 September jam 4.30 petang di Stadium Nasional Bukit Jalil.