Malaysia gah ke pusingan akhir bagi saingan Pestabola Merdeka selepas berjaya menundukkan Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Harimau Malaya turun dengan barisan terbaik, Arif Aiman, Rom Morales dan Paulo Josue mengetuai jentera serangan pasukan.
Sementara Filipina, pastinya dalam misi membalas dendam untuk menamatkan rekod tanpa kemenangan menentang Malaysia.
Perlawanan bermula rancak seawal satu minit permainan, penyerang Filipina, Bjorn Martin Kristensen hampir membuka jaringan pertama namun penjagal gol Malaysia, Syihan Hazmi lebih bersedia.
Pada minit ke-28, The Azkals membuka jaringan menerusi pemain pertahanan, Jefferson Tabinas selepas rembatan derasnya di tampan oleh Feroz Baharuddin ke gawang gol.
Pemain tengah Harimau Malaya, Afiq Fazail terpaksa dikeluarkan selepas bertembung dengan pemain Filipina sejurus selepas jaringan pembukaan dihasilkan. Nooa Laine diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas Afiq Fazail.
Lima minit sebelum tamat masa tambahan, pemain tengah Malaysia, Syamer Kutty Abba berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan tenang daripada luar kotak berjaya menewaskan penjaga gol Filipina, Neil Etheridge.
Separuh masa tamat, Malaysia 1-1 Filipina.
Pau Marti Vincente membuat pertukaran pemain kedua di separuh masa kedua dengan memasukkan Safawi Rasid menggantikan Paulo Josue pada minit ke-62 permainan.
Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-71 selepas Arif Aiman dijatuhkan dalam kotak penalti. Pemain gantian, Safawi Rasid tenang menyudahkan sepakan penalti tersebut.
Lima minit masa tambahan tidak mampu mengubah keputusan perlawanan, Malaysia 2-1 Filipina. Malaysia berpeluang menambah mata ranking FIFA.
Skuad kendalian Pau Marti Vincente akan berdepan Lubnan bagi aksi perlawanan akhir Pestabola Merdeka pada 8 September ini dalam misi merampas semula takhta Piala ini.