Bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Neil Etheridge secara rasminya diperkenal sebagai pemain baharu Buriram United.
Juara bertahan Thai League 1 itu mengumumkan beberapa tonggak baharu bagi mengekalkan mahkota kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Usaha ini termasuklah membawa beberapa tonggak penting seperti Curtis Good, Marcelo Tariyolay dan Neil Etheridge.
Pengumuman tersebut menyaksikan bekas penjaga gawang Birmingham City itu secara rasmi pulang beraksi bersama kelab Thailand itu bagi musim 2024/25.
Pemain berusia 34 tahun itu berkelana hampir sepanjang kariernya di Eropah bersama beberapa kelab seperti Cardiff City dengan kelab terakhirnya ialah di EFL Championship iaitu Divisyen Dua England bersama Birmingham City FC sejak musim 2020/2021.
Kemasukan tonggak tinggi lampai ini sudah pasti bakal membantu cabaran Buriram United pada pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.
Beberapa tonggak import juga sudah meninggalkan pasukan musim ini seperti Ramil Sheydayev, Jonathan Bolingi, Filip Rogic dan Lonsana Doumboya.