Bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Moussa Sidibe memperlihatkan ketajaman beliau di Liga Indonesia bersama Persis Solo baru-baru ini.
Pada aksi Liga 1 menentang Madura United, Sidibe menjadi tunjang utama Persis Solo dalam kemenangan besar 4-0 di laman sendiri.
Dalam aksi tersebut, Sidibe telah meledak dua jaringan selain turut menyumbang dua lagi bantuan gol yang disempurnakan dengan baik oleh Ramadhan Sananta dan Ricardo Lima.
Kemenangan tersebut adalah kemenangan pertama buat Persis dalam saingan liga selepas gagal mencipta kemenangan dalam tiga aksi terdahulu.
Setakat ini, Sidibe sudah meledak 3 jaringan dan menyumbang 2 bantuan gol buat Persis dalam empat perlawanan liga musim ini.
Kemenjadian prestasi Sidibe bersama Persis bukanlah perkara yang baharu. Ini kerana, pada musim lalu, pemain kelahiran Mali ini turut mempamerkan taring dengan meledak 11 gol dalam 27 penampilan selain turut merekodkan 5 bantuan jaringan.
Untuk rekod, Sidibe pernah beraksi bersama JDT bagi musim 2022 namun gagal memberikan impak bersama pasukan utama dan aksi beliau lebih banyak dilihat bersama JDT II di Liga Perdana.
Sidibe akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan JDT dan berhijrah ke Persis Solo pada Julai 2023 selepas melalui tempoh pinjaman selama 6 bulan bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC.