Bekas bintang Selangor FC, Zach Clough memilih kembali berkelana di bumi Australia.
Ini selepas kelab A-League, Newcastle Jets mengumumkan perpindahan pemain berusia 30 tahun itu di laman sesawang rasmi mereka.
“Newcastle Jets dengan sukacitanya mengumumkan perpindahan pemain tengah England, Zach Clough, dengan kontrak dua setengah tahun.
“Pemain berusia 30 tahun itu menyertai pasukan Liga Super Malaysia, Selangor FC di mana beliau telah bermain sejak musim sebelumnya.
“Sebelum ini, Clough sebelum bermain dalam Isuzu Ute A-League bersama Adelaide United di mana beliau bermain dalam 85 perlawanan, menjaringkan 19 gol dalam pertandingan tersebut,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik memeterai perpindahan ke pasukan A-League itu, Clough teruja membantu Newcastle Jets memperbaiki kedudukan dalam liga.
“Saya gembira dapat kembali ke Australia dan bersama The Jets. Perpindahan ini dirasakan sangat sesuai untuk saya pada masa ini dalam kerjaya saya.
“Saya mahu terus meningkat dan saya rasa saya telah menyertai kelab yang betul atas sebab itu,” ujarnya.
Nama Newcastle Jets cukup dikenali peminat bola sepak Malaysia. Ini kerana bekas pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Liridon Krasniqi pernah beraksi untuk kelab berkenaan.
Musim 2025/26 menyaksikan The Jets dibimbing bekas penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, Mark Milligan.
Milligan gembira mengalu-alukan kehadiran Clough dalam pasukannya. Beliau percaya bekas pemain Bolton Wanderers itu mampu memberi impak besar bersama Newcastle Jets.
“Zach ialah pemain bola sepak yang hebat yang akan membawa kualiti dan pengalaman kepada kelab.
“Beliau boleh bermain di beberapa bahagian dan akan membawa kepimpinan kepada kumpulan muda ini, memimpin melalui teladan di dalam dan luar padang,” katanya.
Clough antara tiga tonggak import yang meninggalkan Selangor dalam tetingkap perpindahan kedua Liga Super.