Bintang Selangor, Zach Clough telah menamatkan kontrak bersama Selangor pada hari ini.
Zach Clough yang menyertai Selangor pada Julai lalu telah membuat 17 penampilan bersama pasukan, dengan merekodkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam kesemua saingan yang disertainya, termasuk Liga Super, Piala FA, ACL 2 dan Piala Shopee.
Menurut Selangor, kedua-dua pihak, iaitu kelab dan pemain, telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak.
The Red Giants turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan beliau sepanjang bersama Gergasi Merah.
“Selangor FC mengesahkan bahawa Zach Clough dan kelab telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya selepas separuh musim bersama pasukan, berkuat kuasa hari ini.”
“Selangor FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan, komitmen serta kerja keras yang telah ditunjukkan oleh Zach sepanjang tempohnya bersama pasukan.”
Selain itu, Selangor mendoakan agar beliau terus berjaya dalam perjalanan kerjaya pada masa hadapan.
“Kelab mendoakan agar Zach terus berjaya dalam perjalanan kerjaya seterusnya,” kata Selangor dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Selangor bakal meneruskan aksi Liga Super minggu ini dengan berdepan juara bertahan, JDT pada 4 Januari depan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.