Bekas Jurulatih Harimau Malaya Bawa Kelab Australia Ke ACLE
MakanBola
MNT/NJFC

Bekas jurulatih Harimau Malaya, Mark Milligan terus cemerlang bersama kelab Australia, Newcastle Jets.

Selepas membimbing pasukan itu muncul juara Australian Cup, Newcastle Jets kini layak secara merit ke saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim hadapan.

Meskipun diikat Adelaide United 1-1, itu sudah cukup buat anak buah Milligan mengesahkan kelayakan ke kejohanan berprestij itu.

Milligan menyifatkan pencapaian itu sebagai pencapaian bermakna bukan saja buat seluruh kelab tetapi juga untuk penduduk Newcastle.

“Inilah kemuncak permainan kita di Asia. Bagi pemain bola sepak Australia yang bermain di Australia, ini satu penghormatan beraksi dalam kejohanan itu.

“Persaingan (ACLE) dilihat mencapai tahap berbeza sejak ia distruktur semula. Ianya sesuatu yang megujakan. Ia satu ganjaran besar buat warga Newcastle dan kelab ini.

“Semua orang patut teruja menjadi sebahagian daripada kejohanan itu (ACLE). Ia bakal menjadi satu lagi cabaran besar,” katanya.

Satu slot Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dijangka diisi naib juara Australian Cup, Heidelberg. Kebiasaannya, slot itu diberi kepada juara Australian Cup dengan pasukan teratas A-League ke ACLE.

Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila The Jets muncul juara Australian Cup dan menjadi pasukan teratas A-League dengan baki dua perlawanan.

Seandainya Heidelberg mampu melepasi semua syarat lesen yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pasukan semi-pro itu akan membawa cabaran Australia dalam ACL2.