Bekas pemain Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT), Diniz Irwan menggegarkan bumi Jerman apabila meledak hatrik buat pasukannya, Tura Niederhochstadt.
Diniz yang mampu beraksi di pelbagai posisi serangan menjaringkan hatrik itu ketika Tura Niederhochstadt berdepan SpVgg 1922 Eltville bagi saingan Gruppenliga Wiesbaden (Divisyen 7 Jerman).
Tura Niederhochstadt yang beraksi sebagai pasukan tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan dengan dua jaringan pasukan lawan.
Diniz menjaringkan gol pertama buat Tura Niederhochstadt pada minit ke-21 untuk merapatkan kedudukan menjadi 2-1 namun sebelum rehat, SpVgg 1922 meledak sekali lagi untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 3-1.
Bersambung babak kedua, Diniz meledak dua lagi jaringan dalam tempoh 7 minit untuk menyamakan kedudukan menjadi 3-3. Tura Niederhochstadt menambah tiga lagi jaringan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan besar 6-3.
Tura Niederhochstadt kini menduduki tangga ke-9 liga dengan mengumpul 35 mata selepas mengharungi 25 perlawanan setakat ini.
Untuk rekod, Diniz telah mendapat pendedahan awal di Akademi Bola Sepak Tunas Lagenda dari tahun 2012-2016. Selain pernah beraksi bersama skuad Akademi JDT, Diniz turut pernah terpilih menyertai latihan bersama kelab Sepanyol, Valencia CF.