Bekas pemain Barcelona, Nahuel Leiva mengakui isu Palestin antara sebab beliau meninggalkan kelab lamanya, Maccabi Haifa. Akhbar AS melaporkan perkara tersebut menjadi isu buat pemain berusia 29 tahun itu apabila tiba di Israel pada September 2024.
Bekas graduan akademi Villarreal itu mengakui merasa terganggu dengan kekejaman rejim ke atas rakyat Palestin terutama di Semenanjung Gaza.
Leiva yang memiliki darah Sepanyol-Argentina merasa hairan mengapa pihak rejim bertindak kejam termasuk menggugurkan bom di kawasan awam. Hal ini mendorong beliau mencari peluang untuk meninggalkan Haifa seawal Januari 2025.
“Saya bukan penyokong mana-mana politik, saya tidak suka perang dan saya tidak suka darah dan saya juga tidak suka melihat orang mati. Dalam kepala saya, saya terfikir mengapa semua ini berlaku, kerana dunia boleh menjadi jauh lebih baik jika ia lebih menyokong (keamanan).
“Mengapa begitu banyak kematian? Mengapa begitu banyak bom? Kepala saya tidak dapat fokus pada bola sepak, terdapat lebih banyak perkara lain yang dapat dilihat dari luar dan itulah sebabnya kecederaan itu datang, itulah sebabnya saya mencari jalan keluar dari Haifa di tetingkap perpindahan musim sejuk untuk pergi ke pasukan lain.
“Dan apabila anda sudah mempunyai perkara-perkara tertentu di fikiran anda, itu bermakna anda tidak selesa di negara ini dan ada sesuatu yang sedang bermain di kepala pemain dengan semua masalah berkenaan,” katanya.
Meskipun begitu, Leiva berdepan kesukaran meninggalkan Haifa. Memandangkan beliau memeterai kontrak selama empat tahun bersama kelab Israel itu, Haifa menghalang semua bentuk perpindahan pada awalnya termasuk perpindahan pinjaman.
“Saya cuba melakukannya melalui kelab untuk membantu saya dengan mencari pasukan baharu di pasaran perpindahan. Saya membawa tawaran kelab daripada pasukan Poland, satu tawaran penting di mana mereka ingin beli saya dan kelab itu menolaknya.
“Selepas tahun pertama, saya ingin beralih angin, saya ingin menukar destinasi saya dan kelab menyokong saya. Ideanya ialah mengekalkan saya di sana. Tetapi ya, idea saya sentiasa untuk meninggalkan kelab.
“Saya juga membawa mereka tawaran untuk keluar dan mereka tidak membenarkan saya (berhijrah). Ia mengambil masa sehingga tetingkap perpindahan Januari lalu tetapi fikiran saya tidak 100% tertumpu pada bola sepak,” tambah beliau.
Selepas melalui rundingan rumit, Leiva dan Maccabi Haifa akhirnya bersetuju untuk menamatkan (terminate) kontrak secara persetujuan bersama lebih awal. Penamatan kontrak ini membolehkan Leiva meninggalkan kelab tersebut secara rasmi sebagai ejen bebas tanpa sebarang ikatan perpindahan.
Leiva kini fokus mencari destinasi baharu yang menjanjikan keamanan dan ketenangan selepas mengharungi pengalaman ngeri semasa berada di Israel.