Kelab Thailand, Muangthong United mencipta sensasi dengan mendapatkan khidmat bekas pemain pertahanan Liverpool, Aly Cissokho.
Perpindahan pemain pertahanan berusia 36 tahun itu diumumkan The Kirins menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka.
“Muangthong United merekrut pemain pertahanan Perancis, Aly Chissoko untuk menyertai pasukan sebagai pemain baru kelapan selepas Denis Busnja, Kittipong Phuthawchueak, Jakkapan Praiswuan, Kasidech Wettayawong, Sorawit Panthong, Scott Woods dan Jacob Mahler.
“The Kirins terus maju untuk mengukuhkan lagi musim 2024/25 yang akan bermula pada bulan Ogos.
“Cissokho seorang pemain pertahanan yang bermain di bahagian bek tengah dan bek kiri telah mengalami banyak pengalaman terutama di liga utama Eropah selepas bermain untuk Porto, Vitoria Setubal, Valencia, Liverpool dan Aston Villa.
“Pemain pertahanan Senegal itu akan berlatih dengan rakan sepasukannya tidak lama lagi untuk mempersiapkan pra-musim sebelum pembukaan musim 2024/25 pada bulan Ogos menentang Nakhon Ratchasima di Stadium Ulang Tahun Ke-80,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Cissokho bukan asing dalam saingan Thai League 1 kerana sebelum ini beraksi untuk kelab Lamphun Warriors selama tiga musim.
Saingan Thai League 1 musim 2024/25 dijangka lebih menarik kali ini. Selain Muangthong, Buriram United juga berbelanja besar dengan membawa masuk dua bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Neil Etheridge dan Curtis Good.
Selain Cissokho, wartawan sukan Itali yang berpangkalan di Jepun, Marco Molla mendedahkan Muangthong juga dikhabarkan mahu mendapatkan bekas penyerang Swansea, Bafetimbi Gomis.