Bekas tonggak pertahanan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Kim Li-kwan memilih untuk kembali ke negara kelahirannya, Korea Selatan.
Ini selepas bek tengah berusia 21 tahun itu memilih menyertai kelab K-League 2, Ansan Greeners. Perpindahan beliau diumumkan kelab tersebut baru-baru ini.
Li-kwan menyertai kelab tersebut selepas tidak lagi bersama Kelantan DN. Beliau menyertai kelab itu bersama seorang lagi pemain pertahanan, Ahn Jae-jun.
“Duo kelahiran 2003 menyertai Ansan Greeners. Pemain hebat yang memantapkan barisan pertahanan kami!” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Pemain Korea Selatan itu menjadi tonggak import terbaru memilih meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.
Sebelum ini, Aung Kaung Mann, Oday Kharoub dan Washington Brandao memilih meninggalkan Sang Kijang Emas selepas pasukan itu dibelenggu isu kewangan.
Kaung Mann memilih berhijrah ke kelab Thai League 2, Phra United. Oday dan Brandao pula masing-masing menyertai kelab Libya, Al-Ahly dan kelab Vietnam, Hoang Anh Gia Lai (HAGL).