Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Status Belanda sebagai pasukan gergasi Eropah terus terserlah apabila berjaya menewaskan Amerika Syarikat 3-1 dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Piala Dunia 2022. Dengan kemenangan tersebut, itu juga melayakkan Oranje ke peringkat suku akhir kejohanan.

Babak pertama menyaksikan USA hampir mendahului Belanda seawal minit ketiga menerusi Christian Pulisic. Selepas menerima hantaran dari pemain tengah Leeds, Tyler Adams, pemain sayap Chelsea itu hanya perlu menewaskan Andries Noppert tetapi penjaga gol Heerenveen itu memastikan bola ditepis menggunakan kakinya.

Belanda Piala Dunia 2022 LiveScore Piala Dunia: Belanda Jadi Pasukan Pertama Mara Ke Suku Akhir Tewaskan USA
Pemain-pemain Belanda meraikan jaringan pertama Memphis Depay. Gambar: LiveScore

Tatkala The Yanks berusaha menembusi gawang Belanda, mereka sudah dibolosi pada minit ke-10 menerusi Memphis Depay. Selepas bahagian tengah Oranje bertukar hantaran antara 10 hingga 12 kali, bola kemudiannya dihantar kepada Denzel Dumfries sebelum melancarkan hantaran dari sebelah kanan. Hantaran Dumfries kemudiannya disudahkan Depay yang tidak dikawal menewaskan penjaga gol Amerika Syarikat, Matt Turner.

Advertisements

Belanda terus bernafsu memburu gol kedua dan hampir melakukannya menerusi Daley Blind pada minit ke-18. Selepas Cody Gakpo mencetuskan huru-hara dalam kalangan pertahanan USA, dia melorongkan bola kepada Blind. Tetapi malangnya, sepakan bekas pemain pertahanan Manchester United itu langsung tidak mengenai sasaran.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada Belanda mendominasi bola untuk baki babak pertama. Tetapi itu tidak menghalang USA menguji lagi Noppert menerusi percubaan Timothy Weah pada minit ke-42. Kegagalan Belanda mengeluarkan bola menyebabkan penyerang Lille itu merembat kencang ke arah Noppert tetapi berjaya ditepis sebelum dikeluarkan dari padang.

Daley Blind meraikan golnya selepas meletakkan Belanda 2-0 di hadapan USA. Gambar: Statman Dave

Blind kemudiannya menebus kegagalannya pada minit ke-18 menerusi gol kedua Belanda pada minit akhir babak pertama. Seperti gol pertama, satu lagi hantaran Dumfries gagal disekat pertahanan USA sekaligus membenarkan pemain Ajax Amsterdam itu melepaskan satu rembatan menewaskan Turner. Kedudukan 2-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, kedua-dua pasukan berpeluang menjaringkan gol dalam tempoh dua minit. USA terlebih dahulu hampir merapatkan jurang menerusi Tim Ream pada minit ke-49 selepas pertahanan Belanda gagal mengeluarkan sepakan sudut Weston McKennie. Tetapi sepakan bek tengah Fulham itu dihalang daripada memasuki gol oleh Gakpo.

Seminit kemudian, Oranje pula hampir menambah gol ketiga menerusi Walter Zimmerman. Ini selepas Zimmerman gagal mengeluarkan bola Belanda dan hampir tertolak ke gawang sendiri. Turner segera menyelamatkan bola selepas menyedari Depay menghidu peluang untuk menjaringkan gol mudah Oranje.

USA terus mencari gol bagi merapatkan jurang. Tetapi Belanda sekali lagi menguji Turner menerusi sepakan dari luar kotak penalti yang berjaya ditepis keluar pada minit ke-61. Sepakan sudut yang terhasil selepas itu juga tidak membuahkan hasil kepada Oranje.

Advertisements

Terdesak, jurulatih Amerika Syarikat Gregg Berhalter memasukkan Haji Wright dan rakan sepasukan Adams di Leeds, Brendan Aaronson bagi menambah sengat di bahagian serangan. Tetapi Blind hampir menambah gol ketiga pada minit ke-72 menerusi sepakan dari luar kotak penalti. Bagaimanapun, percubaannya ditepis Turner dengan cubaan susulan Depay juga dinafikan.

USA merapatkan jurang menerusi gol Wright tiga minit selepas itu. Kegagalan Belanda mengeluarkan bola dari bahagian mereka menyebabkan bola dicuri dan dilorongkan kepada Pulisic di sebelah kanan. Hantaran Pulisic kemudiannya disudahkan menerusi lambungan yang menuju ke penjuru atas gawang Belanda.

Denzel Dumfries meraikan jaringannya pada minit ke-81. Gambar: LiveScore

Gol tersebut memberi keyakinan kepada Amerika Syarikat untuk memburu gol penyamaan. Tetapi kecekapan Noppert menangkis percubaan demi percubaan The Yanks. Malah, ia turut membantu Belanda mendapatkan gol ketiga menerusi Dumfries pada minit ke-83. Blind menghantar bola kepada bek kanan Inter Mian itu selepas bertukar hantaran dengan Frenkie De Jong sebelum Dumfries menewaskan Turner dengan satu sepakan cantik.

Advertisements

Dengan kemenangan sudah terjamin, Louis van Gaal memasukkan Wout Weghorst dan Mathijs de Ligt bagi merehatkan Gakpo dan bek tengah Manchester City, Nathan Ake. Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan tersebut, Belanda bakal menanti pemenang antara Australia dengan Argentina dalam satu lagi perlawanan pusingan kalah mati hari ini. Tak kira siapa lawan Oranje di suku akhir, ia bakal mendatangkan cabaran sukar kepada mereka jika mahu layak ke peringkat separuh akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram