Piala Dunia
OnsOranje
Advertisements

Belanda dan Senegal menepati ramalan layak ke pusingan kedua Piala Dunia 2022 selepas menang perlawanan terakhir Kumpulan A. Belanda mudah menundukkan pasukan tuan rumah Qatar dengan Senegal pula bekerja keras sebelum mengalahkan Ecuador.

Dalam perlawanan Oranje menentang The Maroon di Stadium Al-Bayt, minit-minit awal babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan menguji gawang lawan menerusi Memphis Depay dan Abdelaziz Hatem. Bagaimanapun, percubaan bekas penyerang Manchester United itu tersasar dengan percubaan Hatem pula berjaya diselamatkan penjaga gol Andries Noppert.

Walaupun mendominasi perlawanan, Belanda tampak tumpul dengan kerap mensia-siakan peluang terhidang. Ini memberi peluang kepada tuan rumah menguji ketangkasan Noppert menerusi kapten Hassan Al-Haydos pada minit ke-25 tetapi percubaannya melepasi palang gol.

Advertisements
Cody Gakpo Memphis Depay Davy Klaassen Belanda Piala Dunia 2022 OnsOranje Belanda Dan Senegal Mara Ke Pusingan Kedua Piala Dunia
Cody Gakpo meraikan jaringan bersama Memphis Depay dan Davy Klaassen. Gambar: OnsOranje

Tetapi akhirnya, Belanda mendahului menerusi penjaring terbanyak mereka, Cody Gakpo pada minit ke-26. Selepas mendapat hantaran Depay, pemain PSV Eindhoven itu melakukan larian ke arah kubu Qatar sebelum melepaskan rembatan tepat menuju ke penjuru atas gawang mereka. Gakpo turut mencipta sejarah sebagai pemain Belanda pertama menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan pertama Piala Dunia.

Gol tersebut meredakan sedikit rasa gementar dalam kalangan pemain Oranje dan membantu mereka mengatur gerakan lebih kemas. Walaupun ketinggalan satu gol, The Maroon terus menguji pertahanan Belanda yang diketuai bek tengah Liverpool, Virgil van Dijk. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Frenkie De Jong meraikan jaringan kedua Belanda bersama Depay. Gambar: FIFA World Cup

Selepas rehat, Belanda menambah jaringan pada minit ke-49 menerusi pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong. Sekali lagi, Klaassen menjadi arkitek dengan membuat hantaran awal kepada Depay dalam kotak penalti. Walaupun rembatan penyerang Barca itu berjaya dinafikan Meshaal Barsham, dia tidak dapat menafikan tolakan mudah De Jong ke dalam gawang Qatar.

Advertisements

Tuan rumah cuba bangkit bagi mendapatkan gol saguhati tetapi semua hantaran gagal sampai ke bahagian serangan mereka. Dengan kemenangan sudah terjamin, Louis van Gaal memasukkan Vincent Janssen dan Steven Berghuis menggantikan Depay dan Klaassen. Berghuis menambah gol ketiga Belanda pada minit ke-68 tetapi gol tersebut dibatalkan VAR selepas bola terkena tangan Gakpo semasa gerakan gol ketiga Oranje terhasil.

The Maroon kembali mengetuk pertahanan Belanda menerusi Hatem (minit ke-78) dan Mohammed Muntari (minit ke-80). Bagaimanapun, percubaan Hatem sekali lagi tersasar dengan cubaan penyerang Al-Duhail itu mudah diselamatkan Noppert. Oranje selesa mempertahankan kedudukan mereka dengan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara perlawanan Ecuador dan Senegal di Stadium Antarabangsa Khalifa menyaksikan kedua-dua pasukan bermula seimbang tetapi Senegal lebih banyak menyerang kubu pasukan Amerika Selatan itu. Benteng La Tri sentiasa dicemaskan dengan kelibat penyerang Sheffield United, Iliman Ndiaye yang tampil dalam kesebelasan utama Singa Tarawa hari ini.

Advertisements

Seperti Belanda, Senegal juga banyak mensia-siakan peluang menembusi gawang Ecuador. Percubaan terbaik mereka muncul pada minit ke-24 menerusi penyerang Watford, Ismaila Sarr. Selepas mendapat umpanan Youssuf Sabaly, Sarr melepaskan rembatan ke arah gawang Ecuador tetapi bola terkena pertahanan lawan sebelum terkeluar dari padang.

La Tri kelihatan selesa bertahan walaupun itu bermakna mengorbankan peluang buat ayam tambatan dan kapten, Enner Valencia menambah koleksi gol sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia. Valencia dan Gakpo berkongsi kedudukan pendahulu penjaring terbanyak dengan tiga gol.

Ismaila Sarr menyempurnakan penalti pada minit ke-45 bagi meletakkan Senegal di hadapan Ecuador. Gambar: FIFA World Cup.

Malang menimpa Ecuador apabila Piero Hincaple menarik Sarr sehingga jatuh dalam kotak penalti pada minit ke-42. Penyerang Hornets itu kemudiannya tenang menewaskan Hernan Galindez bagi menyumbat gol pertama Senegal. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Ecuador memasukkan Jeremy Sarmiento dan Jose Cifuentes bagi menambah kreativiti di bahagian tengah dan menukar formasi pasukan kepada 4-3-3. La Tri mula menyerang kubu Senegal dengan peluang terbaik mereka muncul menerusi Michael Estrada pada minit ke-58. Bagaimanapun, tandukan penyerang Cruz Azul itu tersasar dan tidak mengenai gawang Senegal.

Kesungguhan Ecuador memburu gol akhirnya berhasil apabila menyamakan kedudukan menerusi Moises Caicedo pada minit ke-68. Menerusi satu sepakan sudut, Felix Torres menghantar bola kepada pemain tengah Brighton yang tidak dikawal itu sebelum menewaskan penjaga gol Edouard Mendy.

Sepakan voli Koulibaly meletakkan Senegal kembali di hadapan. Gambar: FIFA World Cup

Bagaimanapun, keceriaan kem La Tri tidak bertahan lama. Dua minit selepas itu, rakan sepasukan Mendy di Stamford Bridge, Kalidou Coulibaly kembali meletakkan Singa Tarawa di hadapan menerusi satu sepakan voli yang kuat menewaskan Galindez. Senegal terus memburu gol ketiga tetapi percubaan Boulaye Dia pada minit ke-82 tidak menepati sasaran.

Ecuador termasuk Valencia tampak tidak bermaya bila mengasak gawang Senegal. Ini membantu Singa Tarawa menyerap semua asakan mereka tanpa sebarang masalah. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan dua keputusan ini, Belanda muncul juara Kumpulan A dengan tujuh mata. Sementara Senegal pula memintas Ecuador di tangga kedua kumpulan dan mara dengan enam mata. Kedua-dua pasukan bakal bertemu dengan juara dan naib juara Kumpulan B untuk pusingan kedua yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Disember.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram