Skuad wanita Indonesia terpaksa menanggung kekalahan besar 15-0 di tangan jaguh Eropah, Belanda dalam satu aksi persahabatan.
Pasukan Indonesia bimbingan Satoru Mochizuku hadir ke De Vijverberg sebagai persiapan menghadapi AFF Women’s Cup dan memilih Belanda di ranking ke-7 dunia sebagai lawan.
Kesebelasan utama Sang Garuda dibarisi nama-nama seperti Shafira Ika, Sheva Imut, Scheunemann dan Sydney Hopper manakala Belanda diterajui penyerang PSG, Romee Leuchter.
Belanda bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-10 menerusi ledakan Romee Leuchter hasil hantaran cantik oleh pemain sayap, Lotte Keukelaar.
Pada minit ke-21, Jill Rood menambah gol kedua buat Oranje sebelum kapten pasukan, Sherida Spitse meletakkan tuan rumah mendahului 3-0 tujuh minit kemudian.
Dua gol pantas menerusi Leuchter dan jaringan sendiri oleh Agnes Hutapea pada minit ke-31 dan 33 terus membuatkan Belanda selesa dengan kelebihan lima jaringan.
Lotte Keukelaar memastikan skuad Belanda memasuki bilik persalinan dengan wajah ceria apabila menyumbat gol ke-6 ketika aksi di babak pertama berbaki empat minit lagi.
Separuh masa pertama tamat, Belanda 6-0 Indonesia.
Kembali dari rehat, gawang Indonesia yang dikawal oleh Laita Masykuroh terus dibolosi dengan tiga gol dalam masa 9 minit oleh Jill Roord (minit-48), Damarus Wienke (minit-56) dan Lotte Keukelaar (minit-57).
Pada minit ke-63, Nina Nijstad mencetak gol ke-10 Belanda sebelum Renate Jansen yang dibawa masuk sebelum itu muncul penjaring gol ke-11 tuan rumah tiga minit kemudian.
Tiga gol berturut-turut di minit ke-73, 74 dan 75 menerusi Nina Nijstad, Renate Jansen dan Katja Snoeijs terus memberi tekanan buat Indonesia yang mula membawa masuk pemain muda.
Jaringan Renate Jansen pada minit ke-81 melengkapkan hatrik peribadi buat bintang PSV ini selain menutup malam indah buat skuad wanita Belanda dengan kemenangan 15-0.
Aksi di De Vijverberg berakhir dengan keputusan 15-0 buat Oranje.
Pada saingan AFF Women’s Cup nanti, Timnas Indonesia bakal berdepan Malaysia dan Laos dalam aksi kumpulan B.