Advertisement
Indonesia Rancak Dapatkan Pemain Warisan Wanita ‘Gred A’ Dari Eropah
UltraSukan
UltraSukan
Erick Thohir

Beberapa pemain warisan wanita dari Eropah kini dilaporkan berada dalam radar Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi memperkuat pasukan.

Skuad wanita Indonesia bimbingan Satoru Mochizuki baru selesai menjalani latihan pusat di Jepun pada September sebagai salah satu persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Timnas Putri ini juga mencatat keputusan yang memuaskan dalam lima aksi persahabatan pada tahun ini apabila berhasil menewaskan Bahrain dan Singapura selain tumpas di tangan Hong Kong.

Bagi menambah baik pasukan, Presiden PSSI, Erick Thohir menggunakan formula seperti pasukan lelaki iaitu dengan membawa masuk pemain-pemain warisan bagi memperkuat skuad wanita.

Pemain warisan dari Eropah, Noa Leatomu serta Estella Loupatty merupakan dua nama yang sudah pasti bakal menyarung jersi Indonesia dan telah diperkenalkan oleh Erick Thohir.

”Saya berasa sangat seronok dan bersemangat, (kerana) saya telah menunggu sangat lama (untuk saat ini),” ujar Leatomu dan Loupatty dalam satu hantaran video.

”Saya harap kita dapat mencapai sesuatu bersama pasukan, mungkin memenangi AFF Asean Cup kemudian melayakkan diri ke Piala Dunia suatu hari nanti,” tambah mereka lagi.

Noa Leatomu yang berusia 21 tahun, beraksi di posisi bek kanan bagi pasukan KRC Genk di Belgium memiliki darah Indonesia melalui susur galur bapanya yang berasal dari Maluku.

Manakala Estella Loupatty merupakan seorang penyerang berusia 21 tahun berketurunan Indonesia-Belanda-Argentina dan kini beraksi bagi sebuah kelab di Belanda, AFC Vrouwen 1.

Selain Leatomu serta Loupatty, beberapa nama seperti Talia Grossman dan Nikita Tromp difahamkan berada dalam radar pihak PSSI menurut laporan CNN Indonesia baru-baru ini.

Skuad wanita Indonesia bakal bertemu pasukan kebangsaan dan Kemboja pada perlawanan di peringkat kumpulan B AFF Women’s Cup yang bakal bermula pada 23 November ini.