Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan proses pembelian saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tiada kena mengena dengan kerajaan negeri.
Terdahulu, MakanBola melaporkan anak syarikat DSAT Group, Mahsuri Medical Centre (MMC) sudah mengemukakan surat tawaran pengambilalihan Sang Kenari pada 4 November lalu.
Mengulas mengenai tawaran yang dikemukakan oleh MMC, Sanusi berpendapat jika pihak tersebut berkemampuan dari segi kewangan, tiada salahya.
“Saya tak tahu (tawaran MMC untuk memiliki KDA FC). Dia (pihak MMC) tak deal dengan saya. Dia jumpa exco sukan (Radhi Mat Din). Exco kata deal dengan peguam dia dan peguam KDA FC. Tak ada kena mengena dengan kerajaan (negeri). KDA FC bukan kerajaan punya.
“Kalau dia ada kemampuan, silalah. Boleh selesaikan masalah. Kita harap dia ada kemampuan itu. Duk berdoa harap-harap dia ada kemampuan,” jelas Sanusi seperti yang dikongsikan pegawainya, Helmi Khalid di Tiktok.
Namun begitu, Sanusi berharap pihak tersebut tidak menipu kerana apabila proses pengambil alihan sedang berjalan, tindakan mengeluarkan kenyataan dengan kerap dianggap seperti seorang scammer.
“Jangan scam lah. Belum ada apa-apa lagi dan keluarkan kenyataan macam-macam. Macam scammer saja. Tak bagus lah. Dia tak ada sangkut paut dengan kita. Dia tak deal dengan kita,” katanya lagi.
Proses pengambil alihan atau pembelian saham KDA FC kini sudah ke peringkat seterusnya apabila kedua-dua pihak telah menyerahkan kepada peguam masing-masing untuk perbincangan selanjutnya.