Advertisements
Kedah Selangkah Untuk Diambil Alih?
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilaporkan sedang dalam proses untuk diambil alih oleh sebuah pusat perubatan terkemuka di Jitra, Kedah.

Mahsuri Medical Centre dalam satu kenyataan media menyatakan telah menghantar surat tawaran untuk pengambil alihan KDA FC.

“Pada 3 November 2024, pihak Mahsuri Medical Centre dengan diwakili Ketua Pegawai Operasi, Encik Nazar Ahmad bin Md Noor telah menyerahkan surat tawaran untuk pengambilalihan KDA FC.

“Ini adalah berikutan pertemuan pada 24 Oktober 2024 di antara Dato’ Seri Azizul bin Tandek, Pengerusi Eksekutif DSAT Group Sdn Bhd dengan YB Haji Muhammad Radhi bin Mat Din, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah yang juga merupakan salah seorang pemegang saham KDA FC,” umum Mahsuri Medical Centre di laman Facebook.

Surat tawaran yang dikemukakan itu adalah untuk pengambil alihan 100 peratus saham KDA FC beserta liabiliti tertakluk dengan terma dan syarat-syarat perjanjian yang akan dimetrai oleh kedua-dua pihak.

Pihak pengurusan Kedah telah diberikan tempoh tujuh hari untuk memberi maklum balas mengenai tawaran yang diberikan oleh pihak Mahsuri Medical Centre.

Sebelum ini, KDA FC juga telah menerima tajaan sebanyak RM 300 ribu oleh seorang individu dalam usaha membantu pihak pengurusan bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kelab.