Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) dilaporkan telah menerima tajaan enam angka daripada seorang individu baru-baru ini.
Perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh penaja tersebut iaitu Dato’ Royfaizal Razali Chong menerusi satu perkongsian di laman Facebook beliau.
Amaun tajaan berjumlah RM 300,000 itu telah dibayar ke akaun Darulaman Football Club pada hari ini iaitu 24 Oktober 2024 dengan bukti transaksi juga disertakan dalam perkongsian tersebut.
“Saya bukan anak jati orang Kedah. Tetapi, rezeki Allah nak bagi tahun ni saya mendapat Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M.) dari Tuanku Sultan Kedah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 atas sokongan Canser Survivor Malaysia (CSM).
“Kemudian, saya mendapat pula sambung belajar Ijazah Kedoktoran di Universiti Utara Malaysia, Kedah. Dan semalam berjumpa pula dengan Tan Sri untuk penajaan kelab bola sepak KDA FC.
“Apabila berbual dengan Tan Sri, orangnya sangat ramah dan komited berusaha mencari penaja memberi suntikan dana kepada kelab dan dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika ini,” umum Royfaizal di laman Facebook.
Sedar akan amaun tersebut tidak mampu menyelesaikan semua masalah yang Kedah hadapi, namun beliau percaya ianya mampu mengurangkan sedikit beban kewangan kelab yang dikenali dengan gelaran Sang Kenari itu.
“Secara peribadi, saya tahu RM300,000 tak mampu untuk menyelesaikan semua masalah yang ada, tetapi saya percaya ianya mampu untuk mengurangkan sedikit sambil berdoa ada lagi penaja yang tampil ke depan,” jelasnya lagi.
Kedah kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul 12 mata selepas mengharungi 11 perlawanan dengan perlawanan terkini mereka iaitu bertemu Terengganu FC berakhir dengan kemenangan 1-0 di Stadium Darul Aman.