Benteng Terengganu Rapuh
MakanBola
Terengganu FC

Aspek pertahanan dijangka menjadi fokus Terengganu FC menjelang aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Aspek ini menjadi perhatian kerana benteng pertahanan Peteh kerap dibolosi dalam empat perlawanan terakhir mereka termasuk aksi kedua Kumpulan A Shopee Cup.

Terbaru, pasukan itu diikat 2-2 oleh kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa pada 25 September lalu meskipun meraih gol pendahuluan menerusi Akhyar Rashid dan Manuel Ott.

Kesilapan mudah dan hilang fokus mengakibatkan Thanh Hoa kembali menyamakan kedudukan menerusi Luiz Antonio dan gol sendiri Ubaidullah Shamsul Fazili.

Bagi bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, Terengganu perlu menekankan aspek fokus kepada semua pemain terutama pada 15 minit pertama dan terakhir perlawanan.

Ini kerana jika aspek ini gagal diperbaiki, ini menyukarkan pasukan itu bukan saja untuk meraih kemenangan. Malah, ini juga menyukarkan Peteh untuk merekodkan rekod tanpa bolos dalam setiap perlawanan.

“Tetapi sedikit mengecewakan kerana (Terengganu dibolosi oleh Thanh Hoa) pada minit terakhir separuh masa pertama.

“:Biasanya, jurulatih akan memberi nasihat kepada pemain khususnya 15 minit pertama dan 15 minit yang terakhir. Perlu beri tumpuan khususnya dalam situasi sepakan percuma,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Kali terakhir Terengganu merekodkan rekod tanpa bolos ialah aksi Liga Super menentang KL City FC pada 10 Ogos lalu. Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 2-0 buat Peteh.

Aksi menentang Selangor di SSMZA bukan saja peluang buat Terengganu mengakhiri kemarau kemenangan yang dialami dalam semua kejohanan sejak 16 Ogos lalu.

Malah, ini juga peluang buat Peteh membalas dendam kepada Merah Kuning. Ini kerana naib juara Piala FA 2024 itu menyingkirkan Terengganu di peringkat separuh akhir dengan keputusan agregat 6-4.